Status pejabat pendidikan daerah, isu keciciran pelajar inti pati kunjungan hormat Menteri Pendidikan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Komtar sebentar tadi.

Pada pertemuan tersebut, Kon Yeow sempat menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Fadhlina menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pada pertemuan tersebut, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai status Pejabat Pendidikan Daerah di dua daerah iaitu Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya yang masih menumpang di bangunan sekolah dan tidak mempunyai pejabat kekal.

FADHLINA Sidek menandatangani buku pelawat di Pejabat Ketua Menteri di sini.

Selain itu, turut dibangkitkan adalah mengenai isu keciciran pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah di negeri ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya tidak berminat untuk ke sekolah, lebih tertarik untuk bekerja dan faktor kesempitan duit.

Isu melibatkan kelas peralihan juga menarik perhatian Fadhlina yang mana menurutnya terdapat kekangan apabila pelajar beralih dari sekolah jenis kebangsaan ke sekolah kebangsaan serta isu sekolah yang tidak siap dibina disebabkan oleh kekurangan tenaga buruh.

Tambah Fadhlina, pihaknya akan meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memastikan transformasi pendidikan mencapai matlamatnya.

Terdahulu, sebelum ke Pejabat Ketua Menteri, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mengadakan lawatan ke JPN Pulau Pinang di Jalan Bukit Gambir.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD