GEORGE TOWN – Sebanyak 96 stesen bas mini telah dan sedang dibina di seluruh kawasan pulau bagi memperluas akses pengangkutan awam, khususnya di lokasi yang tidak mempunyai kemudahan hentian bas sebelum ini.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Seng Hwai berkata inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan MBPP untuk meningkatkan keselesaan pengguna ketika menggunakan perkhidmatan bas.
Menurut beliau, sebanyak dua stesen bas mini dibina pada tahun 2024, diikuti 20 buah pada tahun 2025 dan 74 buah lagi pada tahun 2026.

“Ini menjadikan keseluruhan 96 stesen bas mini dengan kos pelaksanaan berjumlah RM912,300.
“Pembinaan stesen bas mini ini memberi tumpuan kepada kawasan yang sebelum ini tidak mempunyai hentian bas, sekali gus menyediakan kemudahan asas kepada penumpang untuk menunggu bas dengan lebih selesa dan selamat.
“Sebahagian besar daripada 74 stesen bas mini bagi tahun 2026 baru sahaja siap dipasang minggu lalu.
“Setakat ini, maklum balas yang diterima adalah positif, namun MBPP akan terus memantau reaksi orang ramai dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” ujar Seng Hwai ketika dihubungi Buletin Mutiara.
Tambah beliau, MBPP turut komited untuk menambah baik reka bentuk serta fungsi stesen bas mini tersebut berdasarkan maklum balas pengguna.
“Kami akan mengkaji setiap pandangan dan cadangan yang diterima daripada orang ramai.
“Berdasarkan maklum balas tersebut, MBPP akan meneliti penambahbaikan yang bersesuaian dan menghasilkan versi yang lebih baik pada masa hadapan agar kemudahan ini benar-benar memenuhi keperluan pengguna,” ulasnya lagi.
Tambahnya, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan tempatan untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif, mudah diakses dan mesra pengguna di seluruh Pulau Pinang.
Difahamkan, idea mewujudkan stesen bas bersaiz mini itu datang selepas MBPP menerus Jabatan Kejuruteraan mengadakan lawasan ke selatan negara Thailand.