VitaHealth rakan nutrisi rasmi MSNPP, bantu misi buru 60 emas SUKMA 2026

Admin
673d3a39 3837 422b af94 e5e4ad91692f DANIEL Gooi Zi Sen (tengah) dalam sidang media berkaitan susulan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) VitaHealth sebagai rakan nutrisi rasmi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di Komtar pada 9 Jun 2026.

GEORGE TOWN – Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) menerima suntikan semangat menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 apabila jenama suplemen kesihatan terkemuka, VitaHealth, tampil secara rasmi sebagai rakan nutrisi pasukan negeri buat kali ketiga hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kolaborasi strategik tersebut merupakan satu pengiktirafan besar terhadap komitmen atlet Pulau Pinang yang sedang giat membuat persiapan bagi memburu sekurang-kurangnya 60 pingat emas pada temasya SUKMA yang akan berlangsung pada Ogos nanti.

“Sumbangan bernilai RM100,000 dalam bentuk penajaan produk suplemen kesihatan kepada MSNPP ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan prestasi dan kesejahteraan atlet negeri,” ujarnya selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama VitaHealth Malaysia di Komtar hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; Pengerusi Jawatankuasa IMPACT MSNPP, See Swee Sie; Ketua Pegawai Eksekutif VitaHealth (Malaysia dan Singapura), Dr. K.S. Beh; Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Sharizal Abdul Aziz; serta Timbalan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang, B. Surendran.

Mengulas lanjut, Zi Sen turut merakamkan penghargaan kepada VitaHealth atas sumbangan 1,000 helai baju-T kepada atlet negeri sempena temasya sukan dwitahunan negara yang bakal berlangsung di Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, Majlis Makan Malam Amal dan Bidaan Karya Seni bagi Tabung Pembangunan Sukan MSNPP 2026 yang diadakan pada 9 Mei lalu di George Town berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM400,100, termasuk RM50,000 daripada VitaHealth.

VitaHealth merupakan jenama suplemen kesihatan terkemuka yang mempunyai lebih 70 tahun pengalaman dalam bidang nutrisi dan kesejahteraan, serta beroperasi di beberapa negara Asia termasuk Malaysia dan Singapura.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN