Strategi 4P pastikan tandas bersih

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF 

NORAZAH Mat D e s a ( k a n a n ) menerima plak dan sijil penghargaan daripada Ketua Menteri sambil diperhatikan Chow Kon Yeow (tengah) p a d a M a j l i s Perasmian Kempen Ta n d a s B e r s i h Peringkat Negeri Pulau Pinang 2012 di sini baru-baru ini.
NORAZAH Mat Desa (kanan) menerima plak dan sijil penghargaan daripada Ketua Menteri sambil diperhatikan Chow Kon Yeow (tengah) pada Majlis Perasmian Kempen Tandas Bersih Peringkat Negeri Pulau Pinang 2012 di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Dalam usaha mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam di negeri ini sejajar dengan pelaksanaan slogan Pulau Pinang Bersih dan Hijau, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan telah melancarkan Kempen Tandas Bersih Peringkat Negeri Pulau Pinang 2012 di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah memperkenalkan inisiatif tersebut sebagai usaha dan tanggungjawab sosial ke arah mencapai status sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa yang bersih.

“Tandas yang bersih dan terjaga adalah merupakan satu tanda aras (benchmark) untuk menentukan bagaimana masalah perubahan ataupun peralihan paradigma sesebuah negeri dapat dinilai sama ada sudah mara dan maju ke depan atau pun masih di takuk lama,’’ katanya pada ucaptama Majlis Perasmian Kempen Tandas Bersih bertemakan “Tandas Bersih Rakyat Selesa, Pulau Pinang Sejahtera”, baru-baru ini, di sini.

Tambahnya, ia adalah satu langkah kecil untuk mengorak ke hadapan, namun, ia akan memberi impak besar kepada masyarakat dan negeri sekiranya pelaksanaannya berkesan dengan kerjasama semua pihak.

“Pelaksanaan kempen tandas bersih ini adalah tanggungjawab peribadi setiap orang. Kerajaan Negeri telah
memperuntukkan sebanyak RM346,500.00 (2012) untuk menaik taraf tandas-tandas awam milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk keselesaan pengguna. Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk tujuan yang sama tahun lepas (2011),” ujarnya.

Guan Eng berkata, bagi memastikan kebersihan tandas terpelihara, strategi 4P akan dilaksanakan iaitu strategi pemulihan, strategi pengiktirafan, strategi pendidikan awal dan strategi pemantauan dan penguatkuasaan.

“Selain daripada itu, kita (Kerajaan Negeri) telah perkenalkan sistem ‘star rating’ di semua tandas awam di Pulau Pinang bagi menilai tahap kebersihan tandas dan meningkatkan kesedaran pengguna,”jelasnya lagi.

Dalam pada itu, pada majlis sama, Norazah Mat Desa turut dinobatkan sebagai pemenang Peraduan Mencipta Tema Tandas Bersih yang diadakan sebelum ini. Beliau membawa pulang wang tunai RM750, plak dan sijil penghargaan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Perbandaran MPPP, Ang Aing Thye.