Syarikat pemacu pendrive pertama dunia pilih Pulau Pinang

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PUA Khein-Seng (kiri) menerima hadiah penghargaan daripada Loo Lee Lian (kanan) sempena Sesi Taklimat investPenang dan Pelancaran Buku Autobiografi Dikarangnya, Driven To Success di sini baru-baru ini.
PUA Khein-Seng (kiri) menerima hadiah penghargaan daripada Loo Lee Lian (kanan) sempena Sesi Taklimat investPenang dan pelancaran Buku Autobiografi Dikarangnya, Driven To Success di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan syarikat asing apabila Phison Electronics Corporation (Phison), syarikat pertama di dunia yang menghasilkan pemacu pendrive akan menubuhkan operasinya dalam tempoh enam bulan akan datang di sini.

Phison yang diasaskan seorang rakyat Malaysia, Pua Khein-Seng, berasal dari Sekinchan, Selangor adalah sebuah syarikat beribu pejabat di Taiwan yang mengeluar dan menghasilkan cip memori serta litar bersepadu (IC), serta pemacu flash USB dengan teknologi sistem di dalam cip pertama dunia setahun lepas.

Khein-Seng berkata, Phison akan menumpukan kepada penyediaan perkhidmatan merekabentuk IC khususnya bagi sektor elektrik dan juga elektronik.

“Kami (Phison) tidak menumpukan kepada bidang pengeluaran, sebaliknya, pelaburan iaitu menumpukan kepada aspek nilai tambah dalam merekabentuk IC,’’ katanya pada Sesi Taklimat investPenang dan Pelancaran Buku Autobiografi Dikarangnya, Driven To Success di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khein-Seng selaku Pengerusi dan Ketua Eksekutif Phison berkata, pengoperasian syarikatnya akan menumpukan kepada pengambilan tenaga kerja dari kalangan warga tempatan kerana Pulau Pinang mempunyai ramai tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan.

“Kita (Phison) merancang untuk melatih dan membangunkan tenaga kerja dari bidang kejuruteraan tempatan untuk merekabentuk IC selain daripada mengendalikan penyelidikan berkaitannya dengan harapan Malaysia dan Pulau Pinang khususnya bakal menjadi sebuah pusat serantau untuk sektor tersebut pada masa akan datang.

“IC yang bakal direka disasar dapat digunapakai untuk beberapa produk seperti telefon pintar, sistem bayaran elektronik dan automatif. Malah, Pulau Pinang dipilih berdasarkan kepada faktor model perniagaan yang unik dengan perbelanjaan model rendah, pasaran dinamik serta ekosistem industri elektronik di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Pengarah Urusan investPenang, Loo Lee Lian, Pulau Pinang sangat bertuah dan berbangga kerana menjadi pilihan Phison untuk menubuhkan operasi syarikat barunya.

“Kita (Pulau Pinang) merasa bertuah kerana dapat membawa balik kepakaran dan ekspetais anak tempatan yang telah berjaya di mata dunia untuk kembali ke sini. Dengan ini, Pulau Pinang bukan hanya tumpuan syarikat pengeluaran, malah, dalam sektor research and development (R&D) juga,” jelas Lee Lian.