Suasana tenang pada hari pertama operasi PPV One Hope Charity

BUKIT TENGAH – Suasana dilihat agak tenang dan lancar pada hari pertama pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) dekat Shop-in D’Park Autocity, Juru hari ini.

Chua Sui Hau.

Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau ketika ditemui memberitahu bahawa kebanyakan penerima vaksin yang hadir ke PPV berkenaan yang dibuka sejak jam 9 pagi tadi adalah terdiri daripada golongan warga emas.

“Memandangkan kebanyakan penerima vaksin hari ini adalah golongan warga emas, maka pergerakan pada waktu pagi tadi adalah sedikit perlahan.

“Walau bagaimanapun, keadaan kembali lancar dengan bantuan para sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu melicinkan proses vaksinasi sejak awal pagi tadi.

“Paling penting adalah kebanyakan mereka yang datang mendapatkan suntikan vaksin di sini kelihatan tenang dan gembira dengan persekiran PPV yang berkonsepkan dalam taman ini.

PPV One Hope Charity dibuka berkonsepkan dalam taman untuk memberikan rasa tenang kepada mereka yang hadir mendapat suntikan vaksin.

“Mungkin sudah terlalu lama duduk di rumah, jadi apabila datang ke sini hari ini telah mengurangkan sedikit tekanan kerana mereka berpeluang menikmati keindahan panorama sekali gus mengurangkan rasa takut,” ujarnya kepada Buletin Mutiara, sebentar tadi.

Difahamkan, One Hope Charity and Welfare menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang membuka PPV berkonsepkan dalam taman dengan kos RM1.5 untuk pengoperasian selama tiga bulan.

Seramai 70 sukarelawan terdiri pasukan perubatan dan sokongan yang disediakan NGO berkenaan terdiri daripada pasukan perubatan dan kumpulan sokongan untuk membantu melicinkan proses vaksinasi.

PPV tersebut akan beroperasi setiap hari dan akan memberi suntikan 360 dos sehari sebelum dipertingkatkan kepada 1,000 dos sehari.

Sementara itu, Buletin Mutiara turut berkempatan menemu bual beberapa penerima vaksin di PPV berkenaan pagi tadi.

Rahim Din.

RAHIM DIN, 75, berkata bahawa beliau dan isteri, RASHITAH CHIK, 68, tidak berdepan sebarang masalah ketika mendapat suntikan vaksin kerana banyak dibantu oleh pasukan sukarelawan yang ada.

“Malah, saya rasa sangat tenang apabila berapa di sini kerana dapat melihat pokok-pokok dan tumbuhan hijau, maklumlah sudah lama tidak keluar rumah sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada awal Jun lalu.

“Suntikan vaksin pula langsung tidak rasa sakit, cuma saya alami kebas pada bahagian suntikan, itupun sedikit sahaja,” katanya yang datang dari Kubang Semang, Penanti.

M. Velaiizan.

M. VELAIIZAN, 86, pula melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mendapatkan suntikan vaksin di PPV One Hope Charity.

“Sejak PKP pada Januari lalu, saya memang langsung tidak keluar dari rumah kerana bimbang risiko dijangkiti COVID-19 tetapi hari ini saya berpeluang menikmati udara segar di sini sambil menerima suntikan vaksin.

“Suasana di sini yang seakan-akan berada di dalam kawasan taman membuatkan saya rasa tenang dan selesa.

“Tambahan pula, proses vaksinasi sangat teratur dan kakitangan yang ada di sini semuanya baik dan mesra,” katanya yang merupakan penduduk tempatan.

ANG AH CHAI, 93, merupakan individu tertua setakat ini yang menerima suntikan vaksin di PPV One Hope Charity.

Ketika ditemui, Ah Chai memberitahu bahawa beliau sangat menyukai suasana di PPV One Hope Charity yang kelihatan agak tenang dan selesa.

“Saya daftar sebagai penerima vaksin agak lewat kerana bimbang selepas mendengar banyak berita negatif berkaitan kesan pengambilan vaksin.

“Selepas beberapa bulan program vaksinasi berlangsung, saya dapati tidak banyak laporan mengenai perkara negatif, jadi saya dan keluarga ambil keputusan untuk mendaftar.

“Syukur, saya dapat suntikan vaksin di sini kerana suasananya yang tenang menyebabkan saya langsung tidak rasa gementar,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS