Sukarelawan Belia Pulau Pinang perkasa kemahiran digital menerusi bengkel WOU

Admin
img 8925

GEORGE TOWN – Penguasaan kemahiran digital dalam kalangan generasi muda terus diperkasa menerusi kerjasama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Wawasan Open University (WOU), melalui penganjuran siri bengkel digital yang memberi pendedahan praktikal kepada golongan belia.

Siri tiga bengkel anjuran Pusat Pengajian Teknologi Digital (DiGiT), WOU sempena ulang tahun kelima penubuhannya itu berjaya menghimpunkan 90 peserta, termasuk penyertaan aktif Sukarelawan Belia Pulau Pinang.

Bertemakan ‘Workshop Series to Empower Community’, program berkenaan memberi fokus kepada tiga bidang kemahiran digital utama iaitu reka bentuk berasaskan kecerdasan buatan (AI), penghasilan kandungan digital serta analisis dan visualisasi data.

Dekan DiGiT, Prof. Madya Ts. Dr. Tan Kian Lam berkata, penganjuran siri bengkel berkenaan mencerminkan komitmen WOU untuk memperluas kepakaran akademik melangkaui bilik darjah, khususnya dalam membantu masyarakat membina keupayaan digital dan AI yang praktikal.

“Selaras dengan usaha Malaysia mempercepatkan transformasi menjadi sebuah negara berteraskan AI, terdapat keperluan yang semakin mendesak untuk melangkaui kesedaran mengenai AI dan membantu masyarakat memahami bagaimana teknologi ini boleh diaplikasikan dalam situasi sebenar.

“Kami mahu peserta belajar melalui amalan mengaplikasikan alat digital dan AI kepada kes-kes dunia sebenar, menyelesaikan masalah, meningkatkan produktiviti serta menghasilkan impak yang relevan dengan kerja, perniagaan dan kehidupan seharian mereka,” katanya.

img 8908whatsapp image 2026 09 10 at 11.02.16

Tiga bengkel tersebut meliputi ‘Canva AI: Design Your Business with Ease’ pada 6 Jun yang disertai 36 peserta, ‘AI-Powered Content Creation Workshops (Using YouTube)’ pada 5 Julai (17 peserta) serta ‘Power BI: Unlock the Power of Data’ pada 5 September yang merekodkan 37 pendaftaran setakat ini.

Menurutnya, kerjasama dengan PYDC turut membuka lebih banyak ruang pembelajaran secara hands-on bagi membina keyakinan, meningkatkan kebolehpasaran serta membolehkan masyarakat mengaplikasikan teknologi secara praktikal.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar PYDC Ong Ching Shi berkata, penguasaan kemahiran seperti aplikasi AI, penghasilan kandungan digital dan analisis data merupakan kompetensi penting bagi golongan belia dalam mendepani perubahan dunia pekerjaan, pendidikan dan keusahawanan.

Menurutnya, penyertaan Sukarelawan Belia Pulau Pinang dalam siri bengkel tersebut bukan sahaja memperluas pengalaman mereka melangkaui aktiviti kesukarelawanan, malah memberi peluang meningkatkan keupayaan diri serta keyakinan dalam menerima pakai teknologi baharu.

“Kerjasama PYDC-WOU ini turut memperlihatkan kepentingan sinergi antara institusi pendidikan dan organisasi pembangunan belia dalam menyediakan peluang pembelajaran yang relevan dengan keperluan semasa.

“Melangkah ke hadapan, kami berharap kerjasama ini dapat diperkukuh bagi memperluas akses kepada latihan dan pembangunan kapasiti, sekali gus membantu lebih ramai belia Pulau Pinang mempersiapkan diri menghadapi era digital.

“Usaha ini selari dengan aspirasi Penang2030 dalam membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar, hijau dan berteraskan keluarga, selain memperkasa generasi muda sebagai penggerak utama pembangunan masa depan,” katanya.

whatsapp image 2026 09 10 at 11.04.20whatsapp image 2026 09 10 at 11.02.29

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: PYDC