Sumbangan komputer tingkat kemudahan pembelajaran murid berkeperluan khas SK Sungai Dua

Admin
img 20250513 wa0105

SUNGAI DUA – Bagi memastikan usaha berterusan dalam meningkatkan kemudahan pendidikan murid berkeperluan khas, UDA Land Sdn. Bhd. (ULNSB) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara menyumbang lima buah komputer bernilai RM12,500 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid sempena majlis serahan komputer kepada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Sungai Dua dekat sini pagi tadi.

20250513 093146

Semasa berucap, Mohamad menegaskan bahawa program tersebut adalah bertujuan meningkatkan peluang pendidikan kepada pelajar berkeperluan pendidikan khas di sekolah berkaitan.

“Program PPKI ini mula beroperasi sejak 1992 untuk menyokong pembelajaran murid-murid kerkeperluan khas yang terdiri daripada pelbagai latar belakang cabaran seperti sindrom Down, autisme, ADHD, disleksia dan masalah pembelajaran lain.

“Sumbangan ini merupakan satu bentuk sokongan kepada pelajar yang akan membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta memberi akses kepada teknologi kepada para pelajar.

“Iniasiatif ini adalah hasil daripada peruntukan wakalah zakat ULNSB iaitu satu pendekatan strategik dalam memastikan agihan zakat sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Ini juga seiring dengan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam usaha membina jalinan kerjasama yang erat bersama komuniti pendidikan,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamad turut memyampaikan sumbangan RM30,000 daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi meningkatkan kemudahan pendidikan dan kebajikan murid berkeperluan khas SK Sungai Dua.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan, sebagai sebahagian daripada dasar sosial yang adil dan menyeluruh.

“Usaha ini diselaraskan melalui Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya di bawah teras Pembangunan Pendidikan, yang menekankan pendidikan bersepadu, penguasaan teknologi dan pembinaan modal insan yang progresif,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD