GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sentiasa menyokong agenda pembangunan negeri menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau berkata, usaha murni seperti program ‘Ceria ke Sekolah’ sangat bermakna kepada pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan sentiasa terjaga.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat menghargai usaha TNB dalam menyokong pembangunan negeri.
“Sumbangan tahunan ini bukan sahaja meringankan beban, malah memberi keceriaan kepada para pelajar yang memerlukan,” ujarnya semasa menerima kunjungan delegasi TNB Pulau Pinang di Komtar pada 17 Disember 2025.
Terdahulu, delegasi TNB Pulau Pinang yang diketuai oleh Pengurus Besar, Ir. Wan Ishak Soed hadir menyerahkan cek cura dan baucar tunai bernilai RM15,000 kepada Kon Yeow.
Menurut Wan Ishak, serahan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen CSR TNB khusus untuk pelajar daripada latar belakang keluarga kurang berkemampuan di Parlimen Batu Kawan.
“Pihak kami berharap sumbangan ini dapat memberi suntikan semangat dan keceriaan kepada pelajar untuk meneruskan sesi persekolahan tahun hadapan dengan kelengkapan yang lengkap,” ujarnya.

Selain program CSR berkaitan pendidikan, Wan Ishak menegaskan bahawa TNB akan terus komited menyokong pelbagai projek pembangunan di Pulau Pinang.
Beliau memberitahu bahawa banyak lagi program lain yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menyokong aspirasi TNB dan Visi Penang2030.
“Langkah ini dilihat sebagai satu sinergi antara agensi korporat dan Kerajaan Negeri dalam memacu kesejahteraan sosial secara inklusif di seluruh negeri,” jelasnya.
Hadir sama, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pihak Berkepentingan TNB Pulau Pinang, Ir. Mohd. Firdaus Auzir; Pengurus Hal Ehwal Pihak Berkepentingan, Mohd. Alwi Mohd. Nadzir dan seorang pegawai, Shahidi Ismail.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING