DATOK KERAMAT – Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna bagi meningkatkan infrastruktur melibatkan pembinaan dua kelas tambahan di sekolah berkenaan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti infrastruktur sekolah bagi memastikan semua 339 pelajar di sekolah itu memperoleh akses pendidikan yang setara.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyokong agenda pendidikan holistik, inklusif dan berkualiti, termasuk pemerkasaan sekolah-sekolah vernakular agar terus relevan dan berdaya saing.
“Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 yang sudah disalurkan ke akaun SJKT Ramakrishna bagi pembinaan dua kelas tambahan demi keselesaan pelajar,” katanya ketika berucap pada program Sambutan Pesta Ponggal SJKT Ramakrishna di sini sebentar tadi.





Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Guru Besar SJKT Ramakrishna, Vasagi Devy Arivanandam; barisan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Exco Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Ramakrishna.
Pada majlis sama, Kon Yeow turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM30,000 kepada SJKT Ramakrisnhna bagi tujuan meningkatkan pembangunan kecemerlangan pelajar di sekolah berkenaan.
“Walaupun sumbangan ini tidak besar, tetapi saya percaya selama 15 atau 16 tahun ini, sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan-kemudahan di sekolah ini.
“Kita berharap melalui sumbangan sedemikian keprihatinan kerajaan kepada pendidikan, murid-murid dan para pendidik dapat menikmati suasana pembelajaran dalam suasana yang lebih baik,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Pada masa sama, Kon Yeow turut memuji usaha pihak pengurusan SJKT Ramakrishna atas usaha berterusan dalam menganjurkan sambutan pesta Ponggal.
“Dalam konteks sebuah negara majmuk seperti Malaysia, sambutan perayaan sebegini adalah amat signifikan kerana ia mampu menjadi wahana untuk memperkukuh persefahaman, toleransi dan rasa saling menghormati antara kaum.
“Malah, bagi penganjuran pada hari ini, sambutan yang diadakan bukan sahaja menceriakan suasana sekolah tetapi berupaya memperkukuh hubungan antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat, seterusnya menyumbang kepada integrasi nasional yang lebih kukuh.
“Lebih penting juga, murid-murid sekolah dari usia muda lagi dapat menyaksikan perayaan Pongga melalui penganjuran sambutan pada hari ini yang juga diraikan di merata tempat di seluruh negara.
“Budaya kita menandakan identiti kita yang mana ia akan menentukan tanggungjawab kita.
“Inilah nilai-nilai yang penting kita mahu terapkan kepada semua rakyat negera ini, walaupun dari latar belakang pelbagai tetapi matlamat kita cuma satu iaitu memajukan Malaysia, diri sendiri dan generasi akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Rayer menyatakan bahawa di samping peruntukan daripada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu menambah baik infrastruktur di sekolah-sekokah Tamil di negeri ini, khususnya kawasan Datok Keramat.
“Kita mahu para pelajar mendapat pendidikan dalam suasana yang selesa sepanjang tempoh pengajian mereka di sekolah, dan saya percaya Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha ini pada masa akan datang,” katanya.
Vasagi Devy pula menyifatkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri sebagai sesuatu yang sangat bermakna kepada pihak sekolah dan para pelajar.
“Kami akan maanfaatkan sepenuhnya peruntukan ini demi meningkatkan kecemerlangan pelajar-pelajar,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING