GEORGE TOWN – Semangat muhibah dan tradisi kekeluargaan menyelubungi kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di anjung Seri Mutiara apabila Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah berkenan menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Kunjungan yang menjadi tradisi setiap 1 Syawal itu memperlihatkan keakraban antara payung negeri dan pentadbir, sekali gus mencerminkan kestabilan serta keharmonian yang dinikmati rakyat Pulau Pinang.
Mengetuai delegasi kunjungan tersebut ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersama isteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee.
Ketibaan beliau di kediaman rasmi TYT pada pagi 21 Mac 2026 disambut mesra oleh Tun Ramli serta isteri.
Turut memeriahkan majlis, saf kepimpinan utama Kerajaan Negeri lain, antaranya, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid serta isteri; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo serta isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long serta beberapa Exco lain, Zairil Khir Johari, Dato’ Rashidi Zinol, Goh Choon Aik, Lim Siew Khim dan Daniel Gooi Zi Sen.
Pertemuan tersebut bukan sekadar kunjungan rasmi, malah menjadi platform buat para pemimpin bertukar-tukar pandangan dalam suasana Aidilfitri yang mulia.
Kepelbagaian latar belakang pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir segak mengenakan busana tradisi dan baju batik secara tidak langsung melambangkan juga semangat muhibah sekalian rakyat jelata sempena tradisi sambutan hari lebaran di Pulau Pinang.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHLAD RADZI