BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri hari ini akan terus berusaha mengetengahkan syor mewujudkan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) sungguhpun dalam reaksi terbaru Kementerian Kewangan (MoF) antara lain berpendapat belum tiba waktunya untuk merealisasikan idea berkaitan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi respons tersebut kepada pemberita, seusai berucap dalam Dialog Tahunan Dewan Perniagaan Amerika – Malaysia (AMCHAM) Pulau Pinang 2025 di sini pada 16 Oktober 2025.
“Saya perlu merujuk jawapan (MoF), tetapi apa yang dinyatakan kepada kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) adalah (PIFC) belum sampai waktunya (atau) tiada perancangan khusus untuk menubuhkan pusat kewangan antarabangsa di negeri Pulau Pinang.
“Pun begitu, saya percaya kita (Pihak Berkuasa Negeri) akan meneruskan kerja-kerja untuk meyakinkan pihak Persekutuan bahawa dengan tambahnya satu pusat kewangan antarabangsa di negeri Pulau Pinang sebenarnya bukan satu pemangkin kepada Pulau Pinang sahaja, tetapi juga untuk negara Malaysia,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Difahamkan, sehingga kini terdapat dua pusat kewangan antarabangsa di tanah air ini iaitu Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC) yang ditubuhkan pada tahun 1990, dan Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) Malaysia dekat Tun Razak Exchange (TRX), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Februari 2024.
Selain Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pernah ada syor daripada Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Anwar Utama Anwar Ibrahim sendiri pada bulan Ogos 2023 untuk menubuhkan sebuah pusat kewangan antarabangsa yang dikenali sebagai Forest City: Zon Kewangan Khas (SFZ) dekat Forest City, Johor.

Berucap dalam Dialog Tahunan AMCHAM Pulau Pinang 2025 sebelum itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Pulau Pinang selama ini pun sebenarnya memang dilihat antara negeri yang penting dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) buat negara.
“Dalam suku pertama tahun 2025, kita (Pulau Pinang) berjaya menarik RM2.6 bilion FDI (pelaburan langsung asing) berkaitan sektor pembuatan yang diluluskan dari Amerika Syarikat (iaitu) kira-kira 81 peratus daripada keseluruhannya FDI sektor pembuatan AS di Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Pengerusi AMCHAM Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif START, Datuk Tim Garland dan Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Malaysia, Dato’ Siobhan Das turut sertai majlis dialog tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD