Tahun 2026 sebagai asas kepada ‘A Better Penang’

Admin
whatsapp image 2026 01 02 at 6.12.10 pm

GEORGE TOWN — Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa tahun 2026 menuntut tahap kesiapsiagaan, kecekapan pelaksanaan serta keupayaan menyesuaikan pendekatan kerja yang lebih tinggi dalam kalangan Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), selaras dengan prinsip tadbir urus baik.

Beliau berkata demikian pada Upacara Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026, yang berlangsung dekat Dewan Bandaraya di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, pelantikan 24 Ahli Majlis MBPP yang terdiri daripada tujuh muka baharu, dan 17 Ahli Majlis sedia ada mencerminkan keyakinan Kerajaan Negeri terhadap keupayaan serta komitmen mereka dalam meneruskan kesinambungan tadbir urus bandar raya yang berkesan.

“Sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan rakyat, Ahli-Ahli Majlis perlu sentiasa peka terhadap keperluan serta cabaran semasa, di samping memastikan prinsip CAT, (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) terus menjadi teras pentadbiran MBPP.

“Kerajaan Negeri memuji komitmen berterusan MBPP dalam mengamalkan tadbir urus berintegriti, termasuk keterlibatan awam yang menjadi asas penting kepada perancangan bandar selaras dengan Visi Penang2030,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; barisan Exco, ADUN-ADUN, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong.

90b1fd63 83bb 44c4 b50f 770441d13f71 80dcb52a e385 43b6 8bae 8beeef836522 16c12d31 3991 44af ae41 67436cb9572d
Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Bajet MBPP 2026 digubal secara inklusif melalui penyertaan awam, dengan anggaran hasil sebanyak RM445.27 juta dan perbelanjaan RM514.32 juta, melibatkan defisit RM69.05 juta.

“Walaupun berdepan kekangan kewangan, penyediaan kemudahan awam serta penaiktarafan infrastruktur kekal menjadi keutamaan demi kesejahteraan sosioekonomi para pembayar cukai,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan tahun 2026 sebagai asas kepada ‘A Better Penang’, iaitu sebuah negeri yang berdaya saing dari segi ekonomi, stabil dari sudut politik serta kukuh dalam keharmonian dan perpaduan masyarakat.

“Fokus utama Kerajaan Negeri merangkumi penjanaan pelaburan berkualiti tinggi, pendigitalan, kelestarian ekonomi hijau serta pembangunan industri kreatif bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan lebih baik dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati secara saksama oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Dalam masa sama, kestabilan politik, keharmonian sosial dan perpaduan rakyat kekal menjadi prasyarat utama kemakmuran jangka panjang, dengan penekanan terhadap perlindungan golongan rentan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita, belia serta keluarga berpendapatan rendah,” ulasnya.

Selaku PBT teras bagi ibu negeri, Kon Yeow turut menggesa MBPP agar terus meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan bagi memastikan George Town kekal sebagai bandar raya yang bersih, pintar, hijau dan selamat.

“Antara aspek yang perlu diberikan penekanan termasuk pengurusan sisa yang berkesan, pendigitalan perkhidmatan, kelestarian alam sekitar, mobiliti bandar serta keselamatan awam yang perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan.

“Justeru, adalah diharapkan warga Pulau Pinang terus memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik kepada kerajaan tempatan melalui sokongan, pandangan dan kerjasama terhadap setiap perancangan serta pelaksanaan pembangunan.

“Semangat kebersamaan dan pendekatan whole-of-society inilah yang akan memastikan Pulau Pinang terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang progresif, berdaya tahan dan inklusif,” ujarnya lanjut.

Dalam majlis sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ahli-ahli Majlis yang telah menamatkan perkhidmatan pada tahun 2025 atas khidmat bakti mereka sepanjang tempoh penjawatan.

Buletin Mutiara difahamkan, tujuh muka baharu yang dilantik ialah K. Deenadayalan, Foo Yu Keong, Tan May Peng, S. Sivam Manimaran, Mohd. Aidil Fitri Ibrahim, Muhamad Nayim Othuman Mydin dan Muhammad Adzlan Adzhar.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT