Tak sangka jumpa barang kemas dalam longgokan sampah – Wira Oren MBSP

Admin
(Depan, dari kanan) ZAI Asmawi Zainol Abidin, Muhammad Razizi Hassan dan Ramlan Ibrahim bersama-sama ‘Wira Oren’ lain yang terlibat mencari barang kemas milik seorang pegawai polis wanita baru-baru ini, merakamkan gambar kenang-kenangandi Depo Operasi Pembersihan MBSP Tasek Gelugor pada petang tadi.

17 tahun bekerja sebagai ‘Wira Oren’ di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), belum pernah lagi menemukan barang kemas dalam longgokan sampah.

Malah, menurut ZAI ASMAWI ZAINOL ABIDIN lagi, beliau sendiri tidak sangka tindakannya bersama-sama rakan lain memulangkan barang kemas milik seorang anggota polis wanita kira-kira tiga minggu lepas turut dilaporkan sebuah akhbar arus perdana serta tular di media sosial hingga kini.

ZAI Asmawi Zainol Abidin (kiri) semasa ditemu bual pemberita Buletin Mutiara.

Demikian katanya semasa ditemu bual oleh wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD di Depoh Operasi Pembersihan MBSP Tasek Gelugor di Padang Cempedak pada 9 Mac 2022.

“Selama saya kerja sebagai kakitangan MBSP, belum pernah jumpa ‘barang berharga’ seperti baru-baru ini.

“Kawan-kawan ‘Wira Oren’ MBSP pun terkejut apabila tular berita ini.

“Saya sendiri tidak berasa rugi apa-apa pun kerana memang niat saya dan kawan-kawan (Wira Oren MBSP) untuk membantu cari barang berharga yang sebenarnya bukan milik kami pun.

“Malah, saya sedikit berasa bangga walaupun kami adalah pekerja di Depoh Operasi Pembersihan MBSP, tugas yang kami buat sedikit-sebanyak turut mengharumkan nama majikan kami,” katanya dalam nada sederhana.

RAMLAN Ibrahim

Dalam sesi temu bual sama, pemandu lori sampah tersebut yang mahu dikenali sebagai RAMLAN IBRAHIM berkata bahawa beliau sendiri tidak menyangka bahawa ‘barang’ yang dimaksudkan oleh pengadu berkenaan adalah ‘barang kemas’.

“Saya sendiri tak terbayang barang kemas, kerana saya diberitahu oleh wanita berkenaan bahawa ada ‘benda’ mungkin dah dikutip dan ada dalam ‘badan: lori sampah yang saya pandu ini.

“Lalu, saya memberitahu kepada Encik Muhammad Razizi Hassan (Pembantu Kesihatan Awam Kanan di Depoh Operasi Pembersihan Tasek Gelugor), selepas itu kami diminta untuk membawa lori (sampah) tersebut kembali ke depoh,” kongsinya.

MUHAMMAD Razizi Hassan

Sementara itu, Muhammad Razizi pula memberitahu bahawa beliau bersama-sama 141 ‘Wira Oren’ MBSP yang bertugas di Depoh Operasi Pembersihan MBSP Tasek Gelugor turut berbangga apabila ada dalam kalangan mereka tular sebagai pekerja am yang jujur dan berintegriti.

“Macam kami di Depoj Tasek Gelugor ini banyaklah dapat ucapan tahniah atas rekod kejujuran yang ditunjukkan oleh enam ‘Wira Oren’ termasuk saya sendiri yang terlibat dalam kerja-kerja mencari ‘barang’ dalam lambakan sampah yang kita buat di sini baru-baru ini.

“Kalau kami tidak memulangkan ‘barang’ tersebut pun, tidak ada sesiapa boleh pertikaikan, tetapi, kita telah kenal pasti empunya barang kemas tersebut, juga kenal pasti lori yang mengutip sampah di laluan yang berkenaan.

“Maka, kita mula memunggah sampah dari lori tersebut, satu persatu sampah sebab memang niat kita mahu membantu individu pengadu berkenaan.

“Hampir dua setengah jam juga, saya bersama-sama lima ‘Wira Oren’ berkenaan memunggah sampah di sini, iaitu yang sepatutnya terus dihantar ke (Pusat Pelupusan Sampah) Pulau Burung.

“Ini kerana, kalau ikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, adalah tidak wajar kami membawa kembali sampah yang telah kutip untuk dilonggokkan di sini bagi tujuan mencari apa jua ‘barang’ yang orang awam mahu cari (dalam lori sampah),” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Baderul Amin Abdul Hamid (pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP) serta pegawai atasan di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran yang begitu empeti serta memberi sokongan kepada kerja-kerja kakitangan peringkat lapangan di Depoh Operasi Pembersihan MBSP Tasek Gelugor.

Buletin Mutiara difahamkan, mereka yang dilaporkan bertindak memulangkan barang kemas tersebut kepada anggota polis wanita berkenaan baru-baru ini adalah dalam senarai menerima penghargaan pada acara Anuegrah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan datang.

Integriti ‘Wira Oren’ MBSP turut menjadi kebanggaan seluruh warga Pulau Pinang.

Tahniah!