AIR ITAM – Usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih lestari diperkasa menerusi pelancaran semula projek Take a Bag, Leave a Bag, yang turut disusuli penghasilan video kempen kesedaran oleh pelajar INTI International College Penang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, inisiatif berkenaan menyediakan ruang khas untuk orang ramai mengambil beg guna semula secara percuma sekiranya tidak membawa beg sendiri ketika membeli-belah.
“Apabila kita melaksanakan kempen pengurangan penggunaan beg plastik, orang ramai perlu membiasakan diri membawa beg guna semula ketika keluar membeli-belah.

“Melalui projek ini, mereka yang tidak mempunyai beg boleh mengambilnya di sudut yang disediakan, manakala mereka yang mempunyai lebihan beg di rumah pula boleh menyumbangkannya untuk kegunaan orang lain,” ujarnya ketika melawat sudut Take a Bag, Leave a Bag di Sunshine Central, Air Itam, di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut, Soon Siang memberitahu bahawa sepanjang hampir setahun pelaksanaan projek tersebut, pihak penganjur berjaya memastikan sudut berkenaan terus beroperasi hasil sokongan pelbagai pihak, termasuk Penang Green Council (PGC), Kolej INTI, Clarivate, Sunshine dan komuniti setempat.
“Pada peringkat awal, kira-kira 2,000 beg telah dikumpulkan untuk projek ini dan jumlah tersebut habis digunakan dalam tempoh kira-kira sebulan.
“Ini menunjukkan adanya keperluan terhadap inisiatif seperti ini, namun cabaran utama adalah memastikan beg yang diambil turut dikembalikan supaya konsep perkongsian ini dapat diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penghasilan video kempen oleh pelajar kolej swasta berkenaan menjadi pendekatan baharu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai konsep Take a Bag, Leave a Bag.
“Sudut ini sahaja tidak mencukupi, kita perlu meningkatkan kesedaran supaya orang ramai tahu bahawa mereka bukan sahaja boleh mengambil beg, tetapi juga boleh memulangkan atau menggantikannya dengan beg lain.
“Segala perubahan bermula dengan langkah kecil dan kita berharap usaha ini dapat berkembang secara berperingkat dengan sokongan masyarakat.
“Harapan kita adalah melalui video dan kempen kesedaran ini, lebih ramai orang akan mengetahui mengenai inisiatif tersebut dan bersama-sama menjayakan agenda Pulau Pinang yang lebih bersih dan hijau,” katanya.
Gambar: LAW SUUN TING