Taman Eko Rimba Bukit Mertajam kembali dibuka, 1 Februari 2024

02797656 1ef7 48cf b99c 2e800e476ad2 GAMBAR Empangan Mengkuang yang dirakamkan skuad Buletin Mutiara dari anjung pemandangan sebelum sampai Stesen 3 yang berjarak 3.2 kilometer (km) dari kaki bukit Taman Eko Rimba Bukit Mertajam dekat Cheruk To’kun di sini pada 30 Januari 2024.

TAMAN Eko Rimba Bukit Mertajam dekat Cheruk To’Kun yang ditutup kira-kira lebih dua tahun untuk kerja-kerja mitigasi cerun dan laluan pacuan empat roda sebelum ini, akan dibuka semula kepada orang awam untuk aktiviti riadah mulai 1 Februari 2024.

Kawasan berkeluasan 37 hektar dengan puncak tertinggi 545 meter (m) dari aras laut ini adalah antara lokasi rekreasi tanah tinggi terkenal di Pulau Pinang.

Di sini, antara tumbuhan asal yang mencuri perhatian pengunjung yang menelusuri denai sambil mandi rimba adalah Meranti Seraya (Shorea curtisii) dan Meranti Rambai Daun (Shorea acuminata).

54dd7be9 47fa 462d 97a9 fdedbc78f516
GAMBAR lama Ketua Menteri (kiri) bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon (tengah) dan seorang renjer hutan merakamkan gambar di ‘pokok gergasi’ dekat Taman Eko Rimba Bukit Mertajam semasa program riadah berkaitan di sini pada 19 Jun 2022.

Mereka berpeluang merakamkan gambar kenang-kenangan dekat ‘pokok gergasi’ yang menjadi antara mercu tanda tarikan pengunjung ke sini.

Di samping itu, pengunjung juga boleh mencabar diri dengan mendaki sampai ke puncak bukit yang mana terdapat tiang pencawang telekomunikasi di sana.

Jarak pendakian dari kaki bukit, kalau menelusuri trek konkrit untuk kenderaan pacuan empat roda sedia ada, kira-kira 3.5 kilometer (km).

Untuk sampai ke ‘stesen 3’ di sini, masa perjalanan bagi pendaki bertaraf sederhana kebiasaannya mengambil masa melebihi 1 jam.

e65d2ab4 97ab 4bc1 901b 5309ffa21c7c
POKOK teduh di sepanjang jalan masuk ke Taman Eko Rimba Bukit Mertajam di sini.

Pada pagi ini (20 Januari 2024), wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan membuat tinjauan lapangan ke Taman Eko Rimba Bukit Mertajam, sebelum ia dibuka kepada orang awam.

52bbd96a c209 4d98 9ae4 85d7e949d42e
AZMAN Saad

Kehadiran skuad Buletin Mutiara disambut mesra oleh Pegawai Hutan Daerah Seberang Perai Utara/Tengah, AZMAN SAAD, 55.

Di pejabatnya, Azman memberitahu bahawa sejak lebih dua tahun lepas Taman Eko Rimba Bukit Mertajam memang ditutup sepenuhnya untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja-kerja mitigasi kawasan bercerun di samping menaik taraf laluan konkrit untuk trak pacuan empat roda pihak berkenaan ke kawasan menara pencawang telekomunikasi di puncak bukit tersebut.

“Pada tahun 2017, dalam bencana banjir yang melanda negeri (Pulau Pinang) ini, ada beberapa titik (spot) kawasan bercerun runtuh serta boleh membahayakan pengunjung terutama para pendaki bukit di sini.

“Sejak lebih dua tahun lepas, seluruh kawasan Taman Eko Rimba Bukit Mertajam ini ditutup sepenuhnya dari sebarang aktiviti riadah, untuk JKR melaksanakan kerja-kerja mitigasi berwajib.

“Sejumlah RM8 juta juga telah dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemuliharaan berkaitan, sungguhpun anggaran peruntukan asal sebanyak RM11 juta…jadi, sebanyak RM3 juta juga dapat dijimatkan.

“Dalam majlis berkaitan pada 18 Januari 2024, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang (Muhammad Ezhar Yusof @ Antik) mewakili NRECC (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) telah menerima serahan Taman Eko Rimba Bukit Mertajam daripada Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Tengah, (Suhaili Mat Saad); dengan disaksikan sendiri oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Pulau Pinang, (Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid).

“Dengan penyerahan ini, maka pada 1 Februari 2024, Taman Eko Rimba Bukit Mertajam ini boleh kembali dibuka kepada orang awam untuk aktiviti riadah dan sebagainya,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana senantiasa mempromosikan kawasan rekreasi rimba ini kepada khalayak ramai.

img 7435
MUHAMMAD Ezhar Yusof @ Antik (depan, kanan) dan Suhaili Mat Saad (depan, kanan) saling bertukar dokumen berwajib sambil disaksikan oleh Ahmad Nadzri Abdul Majid (belakang, tengah) dan dua lain dalam Majlis Penyerahan Kerja-Kerja Pembaikan Tanah Runtuh Cerun Jalan Tar Dari Kaki Bukit Ke Puncak Bukit Mertajam Sepanjang 3.6Km Di Taman (Eko) Rimba Bukit Mertajam di sini pada 18 Januari 2024. | Foto : JKR Pulau Pinang

Beliau berkata, pada 1 Februari ini, Taman Eko Rimba Bukit Mertajam akan dibuka seawal 7.00 pagi.

“Bagi kaki pendaki bukit yang tidak menggunakan laluan selamat yang disediakan oleh renjer hutan, kadang-kadang mereka mendaki bukit dari laluan alternatif lain seawal jam 5.00 pagi lagi.

“Tetapi, pagar utama ke Taman Eko Rimba Bukit Mertajam ini akan dibuka seawal 7.00 pagi dan ditutup paling lewat sebelum 7.00 malam.

“Pada hari bekerja, Isnin hingga Khamis, purata pengunjung di sini tiap-tiap hari kira-kira 3,000 hingga 5,000 orang.

“Tetapi, pada hari Sabtu, Ahad atau Cuti Umum, lambakan pengunjung ke sini antara 8,000 orang hingga 15,000 (orang),” katanya sambil memberitahu bahawa kemudahan parkir di sini adalah terhad.

a997b572 4814 4e1d ac1d 75bc9275d475
AZMAN Saad (berdiri) dan seorang lagi Pegawai Hutan Daerah saling berbincang di pejabatnya dekat kaki bukit Taman Eko Rimba Bukit Mertajam berhubung persiapan sebelum pembukaan semula kawasan rekreasi ini pada 1 Februari 2024 di sini tadi.
6ab4f434 f5a2 4e3e 95bd c24c4446b92f
GERBANG utama masuk ke Taman Eko Rimba Bukit Mertajam.

Dari bandar Bukit Mertajam dekat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), jarak perjalanan ke Taman Eko Rimba Bukit Mertajam tidaklah jauh, 6km sahaja.

“Mengambil kira parkir yang begitu terhad, paling mudah adalah menempah perkhidmatan pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik (e-hailing).

“Bagi mereka yang menggunakan kenderaan persendirian melalui Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) pula, perlu keluar Tol Juru; menuju ke Bandar Bukit Mertajam, kemudiannya menggunakan jalan menuju ke Kulim, (Kedah),” jelasnya sambil memberitahu bahawa lokasi Taman Eko Rimba Bukit Mertajam di antara sempadan negeri Pulau Pinang dan Kedah menjadi satu lagi tarikan pengunjung ke sini.

Asal Usul

Nama Taman Eko Rimba Bukit Mertajam ini sebenarnya diambil sempena nama satu jenis pokok Mertajam, Kelat Layu Lepisanthes rubiginosa.

Tumbuhan semula jadi ini adalah dalam kelompok Sapindaceae.

Boleh mencapai ketinggian 10m, pokok Mertajam secara semula jadi boleh ditemukan di kawasan berimba sekitar Asia Tropika, juga dekat Utara Australia.

Tidak kisah dipanggil Renjer Hutan, Azman memberitahu bahawa unggas di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam sangat gemar pada buah pokok Mertajam.

“Buah pokok Mertajam juga sebenarnya mempunyai nilai perubatan tradisional, kalau ditanya kepada ahli herba yang berkenaan.

“Selain itu, pokok Mertajam ini juga digunakan sebagai tanaman hutan bandar – sebagai pokok teduh – dengan tujuan untuk meningkatkan tahap kehijauan kawasan bandar serta meningkatkan populasi spesies burung yang pelbagai.

img 7453“Selain menikmati kicauan burung, bau rimba yang menyegarkan serta monyet, untung mereka yang menelusuri rimba di sini mungkin boleh menemukan Lotong Cangkong atau nama saintifiknya Presbytis obscura.

“Lotong Cangkong ini sebenarnya adalah sejenis monyet berbulu hitam; kalau ditanya penginap chalet yang pernah nampak habitat ini di sini, mereka akan kata, seolah-olah ia memakai cermin mata putih,” jelasnya.

Kemudahan, Daya Tarikan Awam

Seusai sesi bicarawara tersebut, skuad Buletin Mutiara bukan sahaja dibawa melihat projek mitigasi kawasan bercerun dan trek konkrit pacuan empat roda yang telah berjaya disiapkan oleh JKR baru-baru ini.

img 3567
GAMBAR trak selesa untuk pendakian atau laluan pacuan empat roda hampir 3.6km yang telah siap dinaik taraf oleh JKR Daerah SPT di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam di sini.
b33b29eb 6445 406c acda e48e3a29ea2f
MUHAMMAD Zahir Abdul Hamid

Malah, Pengawas Hutan, MOHAMAD ZAHIR ABDUL HAMID, 31, turut menemani skuad Buletin Mutiara meninjau kawasan serta kemudahan menarik yang terdapat di sini.

Mohamad Zahir yang juga Pembantu Awam Hutan memberitahu bahawa anak sungai, kolam mandi kanak-kanak, tempat perkelahan dan pelantar pemandangan merupakan antara kemudahan yang terdapat di sini.

“Ada beberapa kemudahan sedia ada di sini turut dinaik taraf supaya lebih mesra OKU (orang kurang upaya)… antaranya laluan tertentu di kaki bukit di sini,” ujarnya lagi.

Skuad Buletin Mutiara turut dibawa melawat kawasan penginapan, terdapat lima buah chalet yang ketika ini masih dalam proses penyelenggaraan lagi.

“Dahulu, kadar sewa semalaman chalet di sini hanya RM55…mungkin selepas diselenggara kelak, akan dibuka untuk pengunjung.

8164c348 de78 4468 b5d4 a098fba61855
DERETAN lima buah Chalet di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam yang wajar diselenggara untuk memberi nilai guna baharu kepada para pengunjung di sini kelak.
fcf512af 1184 438f 9b22 6e5e7987a0a0
TAPAK perkhemahan.

“Di kaki bukit (Taman Eko Rimba Bukit Mertajam) ini juga sebenarnya ada tapak perkhemahan, bagi satu-satu masa boleh menempatkan 100 peserta… ada kemudahan surau, adalah sangat sesuai untuk aktiviti persatuan pelajar sekolah dan mahasiswa Universiti,” tambahnya.

Selepas itu skuad Buletin Mutiara dibawa melawat ke Kafe Rimba yang menyajikan teh Cina serta makanan ringan buat pengunjung.

“OKU turut boleh menggunakan laluan khas untuk mengunjungi Kafe Rimba dan kantin di bawah teduhan pokok semula jadi.

“Bagi pendaki pula, mereka ada dua opsyen, sama ada mendaki selesa melalui laluan pacuan empat roda ataupun denai hutan…untuk menawan puncak Bukit Mertajam setinggi 545m dari paras laut serta akan mengambil masa kira-kira 90 minit.

“Untuk OKU pula, turut disediakan laluan khas sejauh 300m supaya mereka juga boleh merasai pengalaman mandi rimba di sini,” ceritanya lagi.

‘Tempat Cabar Kemampuan Diri’

Difahamkan, terdapat tiga stesen perlu ditempuhi oleh para pendaki sebelum sampai ke pagar menara pencawang telekomunikasi di puncak Bukit Mertajam.

Stesen 1 berada pada kilometer ke 0.9 dari kaki bukit; yang mana pendakian terpaksa menempuhi kawasan lereng bercerun (slope) antara 25 peratus hingga 30 peratus.

Sementara Stesen 2 pula berjarak 2.2km dari kaki bukit dengan kawasan bercerun 20 peratus.

Mereka yang berjaya melepasi kedua-dua stesen ini boleh dikatakan berada pada Tahap 1 atau tahap sederhana – sesuai dengan semua peringkat umur.

Berjarak 3.2km dari kaki bukit dengan lereng bercerun antara 15 peratus hingga 20 peratus, adalah Stesen 3.

Sebelum sampai ke Stesen 3 ini, jangan lupa singgah di anjung pemandangan bagi melihat Empangan Mengkuang yang begitu indah di sini.

Pendaki yang pernah sampai ke anjung pemandangan di sini boleh dikatakan berada pada Tahap 2 atau tahap mencabar kerana laluan ke sini agak sukar serta sangat memerlukan kecergasan tubuh serta kecekalan pemikiran.

Untuk menawan puncak Bukit Mertajam iaitu dekat kawasan berpagar Stesen Pencawang Telekomunikasi pada ketinggian 545m dari aras laut, sekalian pengunjung perlu melengkapkan pendakian sejauh 3.5km dengan cabaran lereng bercerun antara 15 peratus hingga 20 peratus di Stesen Atas.

Sebelum sampai ke Stesen Atas di sini, jangan lupa singgah di satu lagi anjung pemandangan bagi menikmati pemandangan luas Empangan Mengkuang.

c6299f3a f29f 482a 88c8 af149324c5d4
MUHAMMAD Zahir Abdul Hamid menunjukkan sebahagian Empangan Mengkuang yang dapat dilihat dari salah satu anjung pemandangan di pertengahan puncak Bukit Mertajam.

Mereka yang berjaya menjejakkan kaki di anjung pemandangan di sini boleh dikatakan telah melepasi Tahap 3 atau tahap mencabar kerana akan melalui denai serta meniti kawasan bercuram – sesuai untuk pendaki yang mantap sahaja.

Pun begitu, kata Mohamad Zahir, pengunjung tradisi di sini boleh dikatakan setiap hari menawan puncak Bukit Mertajam (Stesen Atas) tanpa mengira lapisan umur.

“Bagi mereka yang pertama kali ke sini, jangan terkejut sekiranya melihat ada penduduk setempat dalam usia ’emas’ berlari dari kaki bukit sampai ke puncak sana kerana sudah menjadi rutin mereka,” selorohnya lagi.

9eaab890 eeab 4219 a19b 000de7721bd0
ANTARA projek penambahbaikan kawasan cerun yang telahpun dilaksanakan ekoran daripada kejadian tanah runtuh di sini pada beberapa tahun lepas.
5ad82d2e 8d6b 4b28 83e8 c5f135440adc
TRAK konkrit bukan sahaja untuk laluan pacuan empat roda, malah menjadikan pendakian pengunjung ke puncak Bukit Mertajam kian selamat dan selesa.

Harapan

Kembali ke kaki bukit, Skuad Buletin Mutiara sekali lagi disantuni oleh Azman.

Katanya, sungguhpun terdapat begitu banyak daya tarikan pengunjung tempatan dan pengembara asing ke sini, masih banyak perkara perlu dilakukan di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam.

“Mengambil kira pelbagai kekangan – termasuk kekangan kewangan – yang dihadapi oleh kerajaan, lima buah chalet yang terdapat di sini perlu diselenggara semula supaya ada nilai guna baharu buat pengunjung.

“Pada masa yang sama, kemudahan-kemudahan asas seperti lampu di tapak perkhemahan juga wajar dinaik taraf kerana kawasan itu sangat cantik jika diberikan nafas baharu.

“Selain itu, aset-aset berkaitan seperti bot dan pemandu bot juga perlu dilihat sama memandangkan Hutan Simpan Paya Laut Penaga juga kini di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri.

a861e0e2 44cc 4dc7 9238 d7801175f9c7
Di tapak semaian pokok dekat Taman Eko Rimba Bukit Mertajam.

16c68b9a 0139 4e7b b718 e3c68dd9dc65 “Tugas hakiki Renjer atau Pegawai Perhutanan Daerah ini bukan sahaja menjaga hutan, malah menguruskan tapak semaian, Pusat Pembelajaran Tapak Semaian Bukit Mertajam… serta proses pembaharuan lesen IBK (Industri Berasaskan Kayu) seperti kilang kayu dan kilang perabot kayu.

“Sehubungan itu, sesuai dengan status Pulau Pinang sebagai ‘negeri pelancongan’ atau tidak keterlaluan dikatakan sebagai ‘negeri pelancongan rimba’ sebab ada banyak kawasan menarik seperti Taman Eko Rimba Bukit Mertajam di sini, maka adalah wajar untuk dilihat aspek keperluan menambah bilangan renjer serta Pegawai Hutan Daerah untuk melaksanakan tugas-tugas berwajib dan hakiki ketika ini,” jelasnya mengakhiri pertemuan di sini.

Selamat Datang Ke Taman Eko Rimba Bukit Mertajam!