AIR ITAM – Taman Kejiranan Jalan Cheeseman menjadi taman pertama di Pulau Pinang yang siap dibina di bawah inisiatif Taman Rekreasi Madani bagi menyediakan ruang rekreasi awam yang lebih selesa, selamat dan mesra kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandan & Desa, Jason H’ng Mooi Lye, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan enam projek Taman Madani di negeri ini, masing-masing tiga projek di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan tiga lagi di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Pelaksanaan projek berkenaan merupakan usaha meningkatkan kualiti ruang rekreasi awam serta menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk kegunaan komuniti setempat.

“Taman Kejiranan Jalan Cheeseman merupakan Taman Madani pertama yang siap dibina di Pulau Pinang.
“Tahniah dan syabas kepada MBPP serta semua pihak, termasuk penduduk setempat yang turut memberikan kerjasama dalam menjayakan projek ini.
“Antara kemudahan yang disediakan dan dinaik taraf di taman berkenaan termasuk alat permainan kanak-kanak, peralatan senaman luar, laluan pejalan kaki, ramp dan kerusi untuk orang kurang upaya (OKU), kerusi taman, papan tanda, lampu sorot, kamera litar tertutup (CCTV) serta kerja-kerja penanaman rumput,” ujarnya ketika berucap merasmikan Taman Rekreasi Madani bagi Projek Menaik Taraf Taman Kejiranan Jalan Cheeseman di sini pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Majlis MBPP, Ng Soo Siang dan Rohaizat Hamid, serta Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Masjid Negeri.
Tambah Mooi Lye, penerapan elemen reka bentuk sejagat (universal design) turut diberi perhatian bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat diakses dan digunakan oleh pelbagai golongan, termasuk warga emas dan OKU.
Dalam pada itu, Soon Siang menyatakan projek naik taraf ini melibatkan kawasan seluas kira-kira 3,200 meter persegi, bermula pada 16 April 2026 dan siap sepenuhnya pada 15 Oktober 2026, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM412,580.
“Pelbagai kemudahan telah disediakan untuk manfaat penduduk, antaranya laluan pejalan kaki yang lebih selesa, enam unit alat senaman luar, satu set permainan kanak-kanak termasuk Merry-Go-Round, 10 unit kerusi taman, dua unit lampu solar, sebuah CCTV mudah alih serta enam unit bollard untuk mengawal pergerakan kenderaan.
“Antara permintaan penduduk yang paling bermakna ialah supaya permainan tradisional Merry-Go-Round, dikekalkan dan dianggarkan sudah berusia lebih 50 tahun sejak taman ini wujud pada pada tahun 1968.
“Kita menyambut baik permintaan tersebut dan mengekalkan permainan ini, dengan penambahbaikan dari segi keselamatan dan penampilan,” katanya.