Tambah baik operasi BEST demi rakyat

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Pelaksanaan caj nominal terhadap perkhidmatan ‘Bridge Ekspress Shuttle Transit’ (BEST) Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas bermula 20 Julai lalu adalah bertujuan memperoleh komitmen berterusan daripada para pengguna dan pada masa sama mengoptimumkan penggunaan jumlah bas berhubung perkhidmatan berkaitan di sini.

Malah, ekoran keputusan kajian yang dijalankan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) yang mendapati penggunaan BEST FIZ adalah agak statik iaitu sekitar 600 hingga 800 pengguna dalam tempoh sehari, jumlah bas beroperasi bagi laluan berkaitan turut dikurangkan dari 13 buah kepada tujuh buah.

Dengan pengurangan tersebut, jumlah pengoperasian bas akan ditambah ke laluan-laluan lain yang lebih memerlukan.

Antaranya, laluan BEST Komtar yang menghubungkan Seberang Perai ke Komtar melalui Kiosk Bertam (Seberang Perai Utara, SPU); Sunway Carnival (Seberang Perai Tengah, SPT) dan Jawi (Seberang Perai Selatan, SPS).

Pada masa sama, terdapat juga permintaan dari kawasan seperti Daerah Barat Daya seperti Batu Feringghi dan Tanjung Bunga.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut diputuskan menerusi mesyuarat yang berlangsung pada 17 Julai lalu dengan beberapa pihak berkaitan.

“Caj nominal perkhidmatan BEST FIZ adalah bernilai RM50 bagi pas bulanan dan perjalanan sehala, RM3.

“Melalui pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan perbelanjaan operasi bulanan BEST FIZ yang mencecah RM154,800 sebulan dan pada masa sama, ‘pengurangan’ berkaitan dapat memenuhi permintaan laluan-laluan BEST yang lain.

“Contohnya, hasil penjimatan sekitar RM60,000 hingga RM720,000 sebulan hasil inisiatif yang dilaksanakan, kemungkinan (penjimatan) mampu digunakan untuk menambah bas bagi BEST Komtar yang mendapat permintaan lebih tinggi,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

BEST FIZ dilancarkan pada Mac 2011 dalam usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di samping membantu meringankan beban kos pengangkutan mereka yang menetap di Seberang Perai dan bekerja di bahagian pulau negeri ini.

Bagi maklumat lanjut, hubungi syarikat bas, Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) di talian 04 – 238 131 atau Bahagian Pengurusan Lalulintas Kerajaan Tempatan PSUK, 04 – 650 5257 atau layari, www.rapidpenang.com.my .d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);