Tambah nilai komersial lorong belakang, Jalan Magazine ke Jalan Gurdwara jadi projek perintis

Admin

GEORGE TOWN – Lorong belakang menghubungkan Jalan Magazine ke Jalan Gurdwara bakal menjadi lorong pertama di kawasan pulau yang dinaik taraf bagi menambah nilai komersial serta meningkatkan fungsi penggunaan ruang.
Perkara tersebut dinyatakan

Exco Kerajaan Tempatan , Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lorong Belakang Menghubungkan Jalan Magazine ke Jalan Gurdwara di sini baru-baru ini.

“Projek ini merupakan inisiatif berterusan oleh MBPP dan akan diperluaskan ke lorong-lorong belakang lain secara berperingkat.

“Saya percaya bahawa projek yang menelan belanja sebanyak RM950,000 hasil tanggungjawab korporat sosial (CSR) pemaju, M-Summit Global Sdn. Bhd. ini dapat meningkatkan imej George Town selain mewujudkan persekitaran yang bersih, hijau, sihat dan selamat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada majlis berkaitan.

Kon Yeow memaklumkan, kerja-kerja naik taraf di kawasan lorong seluas 870 meter persegi tersebut merangkumi pemasangan lampu, pemasangan kanopi, penanaman pokok, rangkaian pejalan kaki, laluan basikal serta keperluan lain.

Hadir sama, mantan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail dan Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit. Patahiyah ketika berucap memberitahu, projek naik taraf lorong belakang tersebut merupakan hasil kaji-selidik pihak Majlis dari 20 Februari hingga 20 Mac lalu.

“ Sebanyak 91.4 peratus daripada kaji-selidik tersebut menyokong projek naik taraf lorong belakang ini,” jelasnya.

Difahamkan projek yang dimulakan pada awal Julai 2017 dijangka mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.