GEORGE TOWN – Pulau Pinang masih mempunyai kira-kira 2,000 ekar tanah untuk aktiviti perindustrian dengan daya guna bertempoh antara 10 hingga 20 tahun akan datang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu perkara itu seusai merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Perindustrian Negeri Pulau Pinang 2030 pada 20 Jun 2025.
“Ada lebih 2,000 ekar tersedia dalam pelbagai peringkat tertentu termasuk (dalam proses) pengambilan, RFP (permintaan untuk cadangan) dan kerja-kerja tanah.
“Misalnya di taman-taman industri Batu Kawan berkeluasan kira-kira lebih 1,000 ekar, bermula dari tahun 2008 hingga kini baru habis digunakan, maka 1,000 ekar pun boleh bertahan selama 15 tahun.
“Permintaan tanah (untuk tujuan aktiviti perindustrian) dalam lingkungan 100 ekar sahaja dalam setahun, maka kalau ada 2,000 ekar tanah ia akan mengambil masa dalam 10 hingga 20 tahun,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Di samping itu, beliau turut memberi respons kepada cadangan mewujudkan bangunan perindustrian bertingkat (vertical industries) pada masa hadapan susulan Pulau Pinang dikatakan mempunyai bank tanah yang terhad untuk aktiviti perindustrian.
“Bangunan kilang bertingkat bergantung kepada jenis industri (yang mana) sesetengah kilang memang tidak boleh diwujudkan secara bertingkat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeiw turut mengulas mengenai usaha mewujudkan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) untuk menampung permintaan pekerja asing dalam sektor industri negeri.
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) memang mahu suatu pendekatan menyeluruh sebab memajukan industri bukan sekadar tanah sahaja, (malah) perlu ada utiliti, bakat, ekosistem rantaian penawaran yang kukuh, ada kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang, kolaborasi dengan institusi pendidikan serta sebagainya.
“CLQ pun suatu komponen penting dalam rangkaian industri kita (yang mana) kita sedang menuju ke arah CLQ teratur…maksudnya ‘asrama pekerja’ dalam kawasan industri.
“Setakat ini, kita tidak lihat pelabur bina asrama (pekerja) dalam tanah industri,” responsnya.
Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa 88 peratus tanah industri negeri ketika ini sebenarnya berada di bahagian Seberang Perai.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga ADUN Jawi turut berucap pada majlis tersebut.
Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang), Dato’ TPr Gs. Rozita Hamit; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar; Pengarah Program Invest Penang, Ong Mee Choo dan Pengarah Iktisas Planners Sdn. Bhd. (Perunding Kajian), TPr Juwairiyah Ho Abdullah antara pembentang kertas kerja persidangan berkaitan dalam majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI