Tarikh tutup penyertaan Anugerah Sekolah Hijau, 31 Julai

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BERAPIT – Generasi masa depan diharap akan lebih cakna dengan isu-isu alam sekitar, melalui Anugerah Sekolah Hijau yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) saban tahun.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, penganjuran anugerah kali ketujuh menerima tajaan sebanyak RM32,000 daripada syarikat Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd. (Continental).

“Program seumpama ini dapat mendidik generasi pelapis untuk mencintai dan menghargai alam sekitar seperti yang termaktub dalam Pelan Tindakan Local Action 21 (LA 21) MPSP.

“Prinsip LA 21 adalah untuk melahirkan sebuah masyarakat yang sihat serta peka terhadap isu-isu alam sekitar bagi diseimbangkan dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial,” katanya pada Majlis Perasmian Program Anugerah Sekolah Hijau 2016 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Continental, Luciano Oliveira, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, Teh Pang Eng serta guru-guru sekolah yang terlibat dengan program berkaitan.

Maimunah dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Continental selaku penganjur bersama dan penaja utama sejak Anugerah Sekolah Hijau mula dianjurkan pada tahun 2010. Menurut beliau, anugerah tersebut antara lain adalah demi merealisasikan amalan 4R, iaitu Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle dalam kalangan generasi masa depan.

Atas tujuan itu, jelasnya, MPSP akan memberi anugerah tersebut kepada sekolah yang layak, sebagai pengiktirafan kepada usaha mengurangkan sisa buangan, penjimatan sumber, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menjawab soalan pemberita, Maimunah memberitahu, penganjuran tersebut mendapat sambutan baik daripada sekolah-sekolah di Seberang Perai, sejak ia mula dianjurkan.

“Saban tahun, jumlah penyertaan sekolah sentiasa meningkat…dan saya harap untuk tahun ini, akan ada lebih banyak penyertaan baru,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap sekolah yang mengambil bahagian akan dinilai berdasarkan lima kriteria, iaitu perancangan dan pengurusan, amalan sisa sifar, kebersihan dan penghijauan, program inovasi dan kreativiti serta penglibatan komuniti.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Julai 2016 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 012 – 477 9330 (Chew Eng Seng)/04 – 381 9890 (Kim Tan) atau e-melkan ke eschew@ mpsp.gov.my / [email protected] .

}