Task force khas pantau kes kematian tahanan

Oleh: CHOONG YEE SHUN &
CHEAH JAY LOON

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy mengumumkan penubuhan pasukan task force bagi meninjau dan mengambil langkah-langkah pencegahan berhubung kes kematian tahanan di dalam lokap Pulau Pinang baru-baru ini.

Inisiatif tersebut, katanya, adalah ekoran laporan enam kes sedemikian bagi tempoh Januari hingga April lalu di sini.

“Antaranya, membabitkan mendiang A. Punniyanatnam, 40, di Lokap Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) pada 10 Februari lalu; mendiang N. Ramasamy, 50, (Lokap Bayan Baru, 1 Mac 2014); Allahyarham Kamarulnizam Ismail, 39, (Penjara Tapah, Perak, 8 Mac 2014, sebelum itu Allahyarham ditahan di lokap Balai Polis Seberang Perai Tengah (Bandar Perda) pada 3 Mac) dan mendiang M. Murungan, 37, (Lokap Bandar Perda, Seberang Perai Tengah, 13 April 2014),’’ katanya pada sidang media di sini
baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amnesty International Malaysia(AIM), Shamini Darshni, wakil Suara Rakyat Malaysia(SUARAM), Ong Jing Cheng, wakil Bar Council Legal Aid Centre Penang(LAC), Vithushini Sivakumaran dan wakil A Social Reform Movement Promoting (ALIRAN), Dr. Prema Devaraj.

Task force tersebut bakal diketuai Ramasamy, manakala Jagdeep serta Afif merupakan panel-panel terpilih.

Tambah Ramasamny, Kerajaan Negeri menegaskan bahawa tragedi terbabit tidak harus lagi berlaku di Pulau Pinang.

“Polis-polis juga mesti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Walaupun suspek-suspek tahanan meninggal di hospital, ia masih di bawah dan merupakan tanggungjawab pihak polis.

“Kami akan bekerjasama dengan NGO untuk mencari jalan penyelesaian dan bagaimana mengelakkan kes macam ini terus berlaku,” tegas beliau.

Dalam sidang media berbeza, Ramasamy turut mengumumkan lima pendekatan penting dalam mengelakkan insiden terbabit berulang.

“Antaranya adalah prosedur, kumpulan sokongan keluarga, penglibatan pihak polis, penglibatan Jabatan Kesihatan Negeri dan pendidikan awam,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif dikemukakan, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi mendidik awam mengenai hak masing-masing sekiranya ditahan dan menjadi tahanan dalam lokap.

Serentak itu, Ramasamy turut menunjukkan statistik jumlah mangsa yang mati dalam lokap antara tahun 2005 hingga 2013 iaitu membabitkan 138 tahanan dengan pecahan 54 berketurunan Melayu, India (31), Cina (26), warga asing (19) dan lain-lain (8).