‘Tauqua Crispy’ jadi sumber rezeki selepas suami kemalangan

Admin
d92c8fa7 5e43 4b8f 84a2 8b0fc851f89a

 

KESUKARAN yang dilalui selepas suaminya mengalami kemalangan menjadi titik tolak kepada NUR SHAFINI ISMAIL, 33, untuk menceburi bidang perniagaan makanan melalui jualan ‘Tauqua Crispy’.

 

Menurut anak jati Kampung Pelet, Penanti itu, keputusan untuk berniaga dibuat demi memastikan keluarganya terus mempunyai sumber pendapatan bagi menampung perbelanjaan harian.

3a5d1cea b0b4 4a04 ac0e 839ca2e112eb 7e6bdf8e 6e76 4681 9110 30491808b6dc 4a2c618a 81f1 48d0 b6e1 3fcee8debc0f

Jelasnya, walaupun hanya berniaga di tepi jalan (dekat Padang Serai, Kedah), perniagaan tersebut berjaya membantu beliau meneruskan kehidupan bersama keluarga.

 

“Saya memulakan perniagaan ‘Tauqua Crispy’ selepas suami saya mengalami kemalangan dan sudah tidak dapat bekerja macam dulu lagi.

18f6725c f474 409e 9c05 1f63e96293b1 4177da96 5cdb 4585 9e3c 4d554eb1a305 8e1107c7 e393 4eb5 a10a 930dbf722923

“Masa itu saya fikir macam mana nak cari pendapatan untuk tampung perbelanjaan keluarga seperti bayar rumah, motor, kereta dan keperluan harian.

“Alhamdulillah, sedikit demi sedikit Allah bagi rezeki. Sampai hari ini saya masih berniaga Tauqua Crispy walaupun sekadar di tepi jalan.

“Malah, saya bersyukur sebab daripada perniagaan kecil inilah saya dapat teruskan kehidupan keluarga,” ujarnya ketika dihubungi penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI hari ini.

Mengulas keunikan produknya, Nur Shafini berkata, meskipun menggunakan tauhu yang sama seperti kebanyakan peniaga lain, beliau memberi penekanan kepada teknik penyediaan bagi memastikan rasa dan kerangupan sentiasa terpelihara.

 

Katanya, pelanggan juga boleh memilih daripada empat pilihan sos yang disediakan mengikut cita rasa masing-masing.

 

“Bezanya pada cara saya bancuh tepung dan cara saya goreng supaya tauhu lebih rangup dan sedap.

 

“Prinsip saya, walaupun berniaga produk yang sama, kalau kita jaga rasa, kualiti dan layanan kepada pelanggan, insyaAllah akan ada rezeki di kemudian hari,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Nur Shafini mengakui peningkatan kos bahan mentah seperti minyak masak, mayonis dan sos keju antara cabaran utama yang dihadapi ketika ini.

 

Bagaimanapun, beliau bertekad untuk tidak berkompromi terhadap kualiti produk demi memastikan pelanggan terus berpuas hati.

 

“Cabaran paling besar adalah mahu kekalkan kualiti Tauqua Crispy.

 

“Walaupun kos barang semakin meningkat, saya tetap cuba kekalkan rasa dan kualiti makanan tanpa mengurangkan apa-apa kerana kepuasan pelanggan adalah keutamaan,” maklum beliau yang sudah menjalankan perniagaan selama satu tahun.

 

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Nur Shafini berharap dapat memiliki premis sendiri bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan, di samping memperluaskan perniagaan dan menambah variasi menu.

 

“Kalau ada rezeki, saya memang berhasrat untuk membuka kedai sendiri supaya pelanggan lebih selesa walaupun cuaca hujan atau panas.

 

“Saya juga berharap dapat menambah menu serta mengembangkan perniagaan ini ke beberapa tempat lagi,” tambahnya lagi.

 

Selain tauhu goreng, beliau bersama-sama suami turut menjalankan perniagaan kopi.

 

Beliau dalam pada itu turut menitipkan pesanan kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang keusahawanan agar tidak gentar untuk memulakan langkah pertama.

 

“Saya sendiri bermula dengan modal cuma RM200 sahaja, tidak semestinya kena ada modal besar baru boleh mula.

 

“Apa yang penting berani melangkah, rajin berusaha dan jangan cepat putus asa.

 

“InsyaAllah, kalau Allah dah tetapkan rezeki kita, cepat atau lambat rezeki itu tetap akan sampai.

 

“Ingat, usaha tidak mengkhianati hasil,” katanya lagi yang turut berpengalaman bekerja di kilang.

 

Sebarang tempahan, orang ramai boleh menghubungi Mur Shafini si talian ‪+60 11‑2349 5967‬.