TDP bakal dirasmi 16 Julai

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pusat sains dan penemuan dikenali Tech-Dome Penang (TDP) yang akan menjadi ikon unggul bagi Kompleks Tunku Abdul Razak (Komtar) bakal dirasmikan pada 16 Julai ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM28 juta itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan semula minat generasi muda di Malaysia amnya, terhadap sains dan teknologi.

Jelas beliau, TDP adalah sebuah projek teraju bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk modal insan berkemahiran tinggi terutama di Pulau Pinang dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi di samping menyekat kemerosotan minat, pengetahuan dan persaingan dalam bidang-bidang berkenaan.

“Ini adalah penting, bagi Malaysia amnya dan Pulau Pinang terutamanya, kerana kita bergantung kepada pekerja mahir terlatih untuk menarik pelaburan dan memperkasa asas teknologi sedia ada pada masa hadapan, bersesuaian dengan moto TDP iaitu ‘Inspiring the Future‘,” katanya ketika ditemui pada pratonton TDP di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai serta beberapa wakil penggerak TDP.

Hampir 40 peratus siap, TDP terletak di Bangunan Dome Geodesic, Komtar dan mempunyai keluasan tapak sehingga 40,000 kaki persegi.

Ia dilengkapi dengan lebih 120 pameran interaktif sains dan teknologi yang menyeronokkan untuk semua peringkat usia.

“Tarikan utama pastinya di balai cerapan yang dilengkapi dengan teleskop terbesar di Pulau Pinang dan ruangan pendidikan khas STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) yang memberi tumpuan terhadap pembelajaran melalui pengalaman di samping pameran-pameran lain seperti Gravity Drop, Pulley Seats, Clip ‘n Climb dan sebagainya,” ujarnya.

Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang TDP di www.techdomepenang. org/ atau Facebook Page di www.facebook. com/techdomepenang atau emel ke info@ techdomepenang.org.

} else {