“Kami beri kerjasama penuh kepada SPRM” – Rayer

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng selesai merekodkan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada 7 Mei lalu, berhubung isu pembelian rumah di Jalan Pinhorn yang dikaitkan dengan isu penjualan tanah di Taman Manggis.

Menurut peguam yang mewakili beliau, R.S.N. Rayer berkata, buat masa ini proses memberi keterangan selesai.

Walau bagaimanapun, pihaknya bersedia dipanggil semula sekiranya SPRM masih memerlukan keterangan lanjut Ahli Parlimen Bagan itu bagi membantu siasatan kes.

“Buat masa ini, tidak ada apa-apa makluman lagi, tetapi saya difahamkan oleh Pegawai SPRM, kalau diperlukan, mereka akan memaklumkannya dan mungkin ada lagi satu sesi,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Pejabat SPRM di sini baru-baru ini.

Rayer memaklumkan bahawa proses mengambil keterangan selama dua hari bermula 6 Mei lalu, berjalan lancar.

“Kami memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM, tidak ada sebarang masalah selama dua hari ini,” jelas beliau.

Terdahulu, Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng hadir ke Pejabat SPRM Pulau Pinang yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah bagi merakamkan keterangan sekitar pukul 9.35 pagi, 6 Mei lalu sambil diiringi Rayer dan Gobind Singh Deo (yang juga Ahli Parlimen Puchong).

Manakala, isteri beliau diwakili oleh Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor). Turut hadir, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Kereta Api), Lim Hock Seng. Gobind dalam pada itu turut disoal sama ada tindakan akan dikenakan terhadap Guan Eng.

“Tidak, ini merupakan peringkat siasatan, sama ada tindakan seterusnya akan diambil atau tidak, itu adalah di luar pengetahuan saya.

“Dan saya rasa itu adalah keputusan yang akan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara setelah siasatan dilengkapkan (nanti),” ujarnya.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);