Tempoh menunggu Rumah Mutiaraku dipendekkan

Admin
img 20251119 wa0048

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memendekkan tempoh menunggu di antara tiga hingga enam bulan bagi mendapatkan tawaran unit Rumah Mutiaraku (RMku) dari tarikh permohonan dikemas kini.

Exco Perumahan dan Alam sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, pencapaian itu adalah hasil daripada proses pemurnian data bagi semua pemohon di dalam Sistem Maklumat Perumahan (SMP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

“Melalui proses pemurnian ini, kami mendapati bahawa sebahagian besar pemohon yang pernah berdaftar sudah hilang kelayakan atas beberapa faktor khususnya had pendapatan isi rumah semasa.

“Hasilnya, sehingga kini jumlah permohonan senarai menunggu adalah sebanyak 6,249 sahaja di dalam SMP LPNPP,” katanya katanya dalam Sesi Soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, semua pemohon yang masih berminat dan berkelayakan perlu mengemas kini data-data semasa bagi membolehkan pemohonan tersebut kekal aktif.

Katanya, bagi pemohon yang gagal mengemas kini akan dikategorikan sebagai pemohon tidak aktif dan tidak akan dipertimbang untuk ditawarkan RMKu.

“Namun begitu, kami sentiasa cakna terhadap isu dan kekangan yang dihadapi oleh penduduk negeri ini dalam proses kemas kini atau pendaftaran permohonan RMKu seperti kekangan masa, lokasi pejabat yang jauh serta akses kepada teknologi.

“Sehubungan itu, LPNPP sebagai agensi yang bertanggungjawab menguruskan permohonan RMKu mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi Outreach Programme dikenali Hari Bertemu Pelanggan.

“Selain itu, kakitangan LPNPP juga amat peka dan prihatin dengan dengan membuka banyak kaunter untuk membantu orang awam dalam pengemaskinian permohonan secara atas talian setiap tiga bulan,” jelasnya.

Sundarajoo turut menegaskan bahawa sebarang permohonan yang tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan akan ditolak pada peringkat semakan dan pengesahan kelayakan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa sehingga Oktober 2025, sebanyak 8,567 unit RKMu yang terdiri daripada Jenis A dan B telah disiap dibina sejak tahun 2020.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMAD IQBAL HAMDAN