SEBERANG JAYA – Seramai 316 warga kerja pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada 21 jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2025.
Anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam majlis bertemakan “Reformasi Perkhidmatan Awam, Memacu Visi Penang2030” yang berlangsung dekat sini sebentar tadi.
Ketika berucap, Kon Yeow berharap agar seluruh penjawat awam terus memberikan sokongan padu terhadap segala usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.





Beliau berkata, penjawat awam perlu terus komited dalam memperbaiki sistem dan proses kerja agar bakat terbaik dalam perkhidmatan awam tumbuh subur serta menyumbang sepenuhnya kepada rakyat dan negeri.
“Pada peringkat negeri, aspirasi kita digembleng sepenuhnya ke arah menjayakan Visi Penang2030 dalam suasana yang sejahtera, progresif dan mampan.
“Bagi menyokong matlamat tersebut, pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan Inisiatif C4 iaitu satu pendekatan strategik yang bertujuan mempercepat pelaksanaan program serta pembaharuan institusi sekali gus membentuk perkhidmatan awam negeri yang lebih cekap, berdaya saing dan menepati keperluan semasa rakyat,” katanya.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa rata-rata sasaran yang ditetapkan di bawah pelaksanaan C4 telah berjaya dicapai 100 peratus sehingga 30 Jun 2025.
“Malah, terdapat beberapa pencapaian telah melebihi sasaran asal, contohnya sebanyak 124 dasar dan garis panduan telah disemak semula berbanding sasaran awal iaitu 50.
“Selain itu, sebanyak 179 set data telah dikemas kini di Portal Data Terbuka Sektor Awam yang melebihi sasaran iaitu 177.
“Sebanyak 102 pengiktirafan dalam bentuk status cemerlang, pensijilan serta penganugerahan ke atas kecekapan sistem penyampaian telah diterima oleh jabatan dan agensi di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, berbanding sasaran 100 pengiktirafan,” ujarnya.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Shamiah Bilal; Ketua Hakim Sharie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Arif Dato’ Za’im Md. Yudin serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri.
Sementara itu, Zulkifli memberitahu bahawa anugerah perkhidmatan cemerlang bukan sekadar sijil dan ganjaran tetapi merupakan pengiktirafan tulus Kerajaan Negeri terhadap kerja keras serta dedikasi yang ditunjukkan oleh penjawat awam negeri.
“Semoga anugerah ini menjadi pencetus semangat untuk terus unggul bukan sahaja kepada penerima tetapi seluruh warga perkhidmatan awam Pulau Pinang,” ulasnya.
Beliau turut menggesa penjawat awam supaya beranjak daripada cara kerja lama dan mencorak pendekatan baharu yang lebih tangkas, telus serta progresif.
“Penjawat awam merupakan tunjang pelaksanaan dasar dan harapan rakyat yang mana dalam menghadapi pancaroba semasa, kita mesti berani berubah selaras dengan Visi Penang2030 dan semangat Malaysia Madani,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD