Terus laksanakan inisiatif pintar, capai sasar ‘Negeri Pintar’ – Exco

JAGDEEP Singh Deo. (Gambar arkib Buletin Mutiara)

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus melaksanakan 73 inisiatif pintar yang direncanakan bagi mencapai sasaran ‘Negeri Pintar’ selaras dengan Visi Penang2030.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pandemik COVID-19 telah mengubah corak kehidupan harian.

 

“Penjarakan fizikal, bekerja dari rumah, perkhidmatan tanpa sentuhan (contactless services) dan kontak kini menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

 

“Di Pulau Pinang, terdapat banyak inisiatif pintar yang telah siap, sedang disiapkan dan dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

 

“Salah satu kejayaan inisiatif pintar adalah dengan pelaksanaan transaksi tanpa tunai (e-pembayaran) semasa tempoh krisis pandemik COVID-19.

 

“Walaupun pada permulaannya ramai yang merungut tetapi kini lebih 80 peratus rakyat mula menerima dan menggunakan transaksi tanpa tunai sama ada dalam urusan jual beli atau pembayaran di kaunter pihak berkuasa tempatan.

 

“(Dan) transformasi ini akan diteruskan selaras hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah ‘Negeri Pintar’ menjelang tahun 2030,” ujarnya pada penganjuran Cities 4.0 : Reimagining City Transformation yang diadakan secara maya pada 21 September 2021.

 

Selain Jagdeep, turut serta dalam sesi “Malaysia Smart Cities Leader’s Forum : How COVID-19 is Shifting Smart City Priorities” ialah Setiausaha Bahagian Dasar dan Inspektorat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dr. Siti Muhaza Sheikh Zainal; Pengarah dan Ketua Teknologi dan Inovasi, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Maimunah Jaafar dan Ketua Bahagian Perniagaan, Bandar dan Komunikasi, Cyberview Sdn. Bhd. Roni Shah Mustapha.

 

Dalam sesi sama, Jagdeep berharap kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan dapat bekerjasama dan membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk merealisasikan Visi Penang2030 ke arah menjadi Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

“Saya juga ingin memuji inisiatif penganjuran Cities 4.0 ini yang mana semua pihak berkepentingan dapat berkumpul secara interaktif mencari penyelesaian dan membincangkan amalan terbaik ke arah menjayakan inisiatif pintar,” katanya.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jagdeep memohon supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula pada 3 Oktober depan.

 

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan berita utama dalam akhbar The Star hari ini.

“Sebagai ibu bapa, saya amat memahami dan khuatir dengan sesi persekolahan yang akan dibuka apabila jumlah kes harian masih lagi tinggi walaupun terdapat penurunan beberapa hari ini di Pulau Pinang.

 

“Saya berharap ia dapat dipertimbangkan semula kerana ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan serta pastikan bahawa para pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah sudah menerima vaksin.

 

“Perkara ini penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan anak-anak menjadi keutamaan,” katanya yang merujuk berita utama dalam akhbar berbahasa Inggeris ‘The Star‘ hari ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR