Projek pembangunan tetap dilaksana demi masa depan rakyat – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan tetap memastikan bahawa setiap projek pembangunan yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual demi masa depan rakyat di negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, meskipun dalam tempoh pandemik ketika ini, projek-projek pembangunan tetap dilaksanakan memandangkan hampir ke semua projek telah dimulakan sebelum perintah kawalan lagi.

 

PELAN kerja-kerja pemulihan dan pembaikan di Fort Cornwallis.

“Projek-projek pembangunan ini termasuk projek pemulihan dan peremajaan aset-aset awam di tapak warisan bagi meningkatkan nilai monumen.

 

“Misalnya, projek di Fort Cornwallis ini yang mana kerja-kerja pemulihan dan pembaikan dijangka akan siap menjelang tahun 2024.

 

“(Dan) pada masa sama, kita (Kerajaan Negeri) perlu memastikan bahawa projek-projek berkaitan warisan ini dipulihkan dengan mematuhi kriteria yang ditetapkan bagi mengelak terjadinya ‘dikeluarkan’ daripada senarai (di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNESCO),” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan ke lokasi berkaitan di sini pada 20 September 2021.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Timbalan Pengarah 1 PlanMalaysia @Pulau Pinang, Tpr. Mohd. Bashir Sulaiman; Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang, S. Bharathi dan Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Nor.

 

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Jagdeep memberitahu bahawa projek pengukuhan tembok penahan ombak sepanjang 570 meter di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah dijangka siap pada suku pertama tahun 2022.

 

ILUSTRASI artis bagi kawasan sesiaran di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah.

“Begitu juga sesiaran berdekatan Padang Kota lama termasuk mewujudkan lingkaran kawasan hijau yang dilengkapi dengan kemudahan riadah dan rekreasi.

 

“Selain itu, projek yang telah siap sepenuhnya adalah baik pulih menara jam bersejarah, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Fountain Garden bersebelah Dewan Bandaraya dan baik pulih Dewan Bandaraya.

 

“Semua projek ini adalah sebahagian daripada Rancangan Kawasan Khas (RKK) George Town dengan kerjasama George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) Sdn. Bhd. (sebagai entiti kegunaan khas),” jelasnya.

 

ROSLI Nor.

Sementara itu, Rosli ketika ditemui menzahirkan keyakinan bahawa kerja-kerja pemulihan yang dijalankan di beberapa lokasi warisan akan mengembalikan semula sinar ‘mutiara’.

 

 

“Pihak kami akan memantau kerja-kerja pemulihan bagi memastikan garis panduan ditetapkan dipatuhi sepanjang masa.

 

“Langkah ini akan memberikan harapan kepada Pulau Pinang untuk menerima pengiktirafan daripada UNESCO selepas ini,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perbadanan Bukit Bendera (PHC) setelah menerima pengiktirafan sebagai kawasan Rizab Biosfera UNESCO pada 15 September 2021.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita mempunyai RKK Bukit Bendera yang diwartakan pada 1 September 2016.

 

“Salah satu keperluan penyediaan RKK ini adalah memanfaatkan produk pelancongan serta memperkasakan industri pelancongan sebagai penggerak ekonomi negeri.

 

“Walau bagaimanapun, timbul kerisauan berhubung cadangan projek kereta kabel yang terletak dalam zon peralihan.

 

“(Melalui) RKK Bukit Bendera, kita akan melihat secara menyeluruh serta memastikan pembangunan yang terkawal, seimbang serta lestari dapat dicapai,” jelasnya.

 

Sebelum ini, sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi projek kereta kabel oleh Kerajaan Persekutuan semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan namun dibatalkan oleh Perikatan Nasional pada April 2020.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemudiannya mengambil keputusan untuk membiayai projek ini melalui pembiayaan awam-swasta.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN