The Colourful Run 8.0 tampil acara kompetitif 10km

img 3192

GEORGE TOWN – Acara larian The Colourful Run 8.0 kali ini hadir dengan kelainan apabila menampilkan kategori kompetitif 10 kilometer (km).

img 3186

Menurut Koordinator Program, Siti Zubaidah Mohd. Lani, persetujuan tersebut dicapai setelah menerima maklum balas daripada para peserta.

“Tambahan acara 10km secara kompetitif ini bagi memenuhi kehendak pelari-pelari yang sebelum ini kerap menyertai edisi satu hingga tujuh.

“Bagi mereka jarak 5km tidak cukup, jadi mereka minta kita tambah 10km supaya boleh berlari dengan lebih puas lagi,” ujar Siti Zubaidah pada sidang media The Colourful Run 8.0 di Stadium Bandaraya di sini pagi tadi.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan (Perhubungan Awam) Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Khairol Izwan Salamat; Presiden Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang, Rufaidah Osman dan wakil-wakil barisan penaja.

img 3194

Khairol Izwan ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa acara kompetitif dibuka sebanyak empat kategori iaitu Lelaki dan Wanita Terbuka (18-39 tahun), serta Lelaki dan Wanita Veteran (40 tahun ke atas).

“Hadiah yang ditawarkan bernilai RM300 (juara), RM200 (naib juara), RM100 (ketiga) manakala tempat keempat dan kelima RM50,” jelasnya lagi.

The Colourful Run 8.0 akan berlangsung pada 5 Oktober (Ahad) bertempat di Jalan Magazine, 1st Avenue Mall.

img 3195

Pendaftaran boleh dilakukan melalui platform Howei.com dan acara ini juga dianjurkan bagi meraih dana untuk Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan golongan tersebut.

Sasaran penyertaan ialah 1,000 orang dan tarikh tutup adalah pada 14 September 2025.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI