BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan penyakit anjing gila atau Rabies susulan kematian seorang lelaki di Kedah akibat penyakit berkenaan baru-baru ini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, setakat ini tiada sebarang kes atau penularan Rabies dikesan di Pulau Pinang, namun pemantauan berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.
“Saya percaya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang berada dalam keadaan full alert dan siap siaga susulan kejadian yang berlaku di Kedah.
“Setakat ini, tiada kes terbaharu seumpama itu dilaporkan berlaku di negeri ini yang mana kali terakhir kes Rabies dilaporkan di Pulau Pinang adalah pada 1975, melibatkan dua individu yang dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepa sesi walkabout sempena Program Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) 2026 di Food Bayana, Medan Bayan Lepas, dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizzam Abdullah; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) JKN Pulau Pinang, Sazly Azizuddin Sahaimi; Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Dr. Chiew Wye Lee; Ketua Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit JKN Pulau Pinang, Dr. Tan Hooi Shyuan serta Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKN Pulau Pinang, Mohamad Naim Mohamad Rasdi.
Dalam pada itu, Zi Sen menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya berlaku kejadian gigitan atau disyaki terdedah kepada haiwan yang dijangkiti Rabies.
“Saya ingin menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya dalam mengendalikan haiwan yang disyaki atau dijangkiti Rabies.
“Sekiranya berlaku kejadian sedemikian, sila dapatkan rawatan dengan segera di hospital atau klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” katanya.
Sebelum ini, JKN Kedah melaporkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu meninggal dunia pada 27 September lalu selepas disahkan dijangkiti Rabies.
Mangsa dipercayai mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu dan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian berkenaan, namun didapati tidak menerima rawatan profilaksis pasca pendedahan (PEP) Rabies.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS