Tiang Pasar Awam Batu Lanchang retak, MBPP teliti laporan jururunding

Admin

BATU LANCANG – Susulan keretakan dua tiang yang dikesan di Pasar Awam Batu Lanchang pada 1 Mei lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui syarikat jururunding yang dilantik kini dalam proses mendirikan tiang sokongan.

Menurut Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Yew Tung Seang, selain mendirikan tiang sokongan, tingkat atas (dewan) Kompleks Pasar Awam Batu Lancang juga dikosongkan bagi mengurangkan beban kepada struktur bawah bangunan.

“Sekarang, kerja-kerja pengukuhan dua kolum (tiang) setinggi 5.1 meter dan 1.5 meter dalam serta disadur dengan konkrit sedang dijalankan kontraktor.

“Pada peringkat ini juga, MBPP mengarahkan syarikat jururunding untuk memeriksa keseluruhan bangunan kompleks bagi memastikan tiada mana-mana ruang atau tiang yang berbahaya.

“Pengosongan tingkat atas seperti pengosongan air pada tangki bomba turut dilakukan.

“Dianggarkan tempoh sehingga dua minggu diperlukan oleh pihak jururunding bagi melakukan siasatan forensik keseluruhan bangunan,” ujarnya ketika menerima lawatan kerja daripada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Law Heng Kiang.

Tambah Tung Seang, sejak kejadian 1 Mei lalu, 30 gerai jualan di tingkat satu turut dikosongkan oleh peniaga dan dipindahkan ke kawasan lain untuk sementara waktu.

“Bagi aktiviti melibatkan dewan seperti kenduri kahwin, kita (MBPP) ada sediakan khemah di lot parkir,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika ditemui pada sidang media memberitahu, segala tindakan susulan akan dimaklumkan kemudian bergantung kepada laporan oleh jururunding dilantik.

“Kita (Kerajaan Tempatan) akan teliti laporan daripada jururunding sejurus siasatan dan penilaian lengkap diterima.

“Walau apapun keselamatan tetap menjadi keutamaan kita,” katanya yang juga ADUN Padang Kota.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menolak andaian bahawa keretakan adalah disebabkan kerjakerja naik taraf yang dijalankan sebelum ini.

CHOW Kon Yeow (empat dari kanan), Law Heng Kiang (tiga dari kanan), Ar. Yew
Tung Seang (dua dari kiri) dan Ahli-ahli Majlis MBPP ketika mengadakan lawatan
kerja ke Pasar Awam Batu Lanchang di sini baru-baru ini.

“Ini kerana, kerja-kerja naik taraf sebelum ini hanya melibatkan pemasangan penghawa dingin, laluan orang kurang upaya (OKU) dan pemasangan lif awam,’’ ujar beliau.