GEORGE TOWN – Setakat 30 April 2025, seluas 150 ekar tanah daripada 2,300 ekar atau hampir 6.5 peratus projek Silikon Island telah ditambak sejak kerja penambakan bermula pada September 2023.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa jumlah keluasan keseluruhan Pulau Silikon adalah sebanyak 2,300 ekar, dan kerja-kerja penambakan terbahagi kepada dua fasa.
“Fasa pertama adalah melibatkan kerja-kerja tebus guna tanah seluas 1,260 ekar manakala fasa dua bakal melibatkan baki 1,040 ekar.
“Tempoh penambakan akan mengambil masa 10-15 tahun untuk disempurnakan,’’ katanya pada Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 20 Mei 2025.
Mengulas lanjut, Zairil menyatakan bahawa projek tambakan Pulau Silikon tidak melibatkan sebarang
pengambilan balik tanah kerana kerja-kerja penambakan dilakukan di kawasan laut.
Namun begitu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga menyatakan bahawa pembinaan projek
lebuhraya Pan-Island Link 2A (PIL2A) Fasa 1 yang menghubungkan Batu Maung dengan Pulau Silikon terlibat dengan proses pengambilan tanah di kawasan Permatang Damar Laut yang melibatkan 13 lot tanah, rumah kediaman (17), premis perniagaan (2), rumah kebajikan (1) dan 1 rumah ibadat (1).
“Pengambilan tanah tersebut telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 8 Mei 2024, dan diwartakan pada 11 Julai 2024 di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Kesemua pemilik/pihak berkepentingan ke atas tanah, struktur dan bangunan telah menerima bayaran pampasan sewajarnya selepas penilaian menyeluruh daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) serta melalui proses siasatan bersama Pentadbir Tanah Daerah pada bulan Disember 2024.
“Majoriti pihak berkepentingan telah menerima jumlah pampasan melebihi RM1.5 juta bagi setiap lot tanah, manakala tiga individu telah menerima bayaran ex-gratia masing-masing sebanyak RM43,500 yang mana jumlah keseluruhan pampasan yang terlibat bagi projek PIL2A adalah RM24,154,948.73 serta bayaran ex-gratia sebanyak RM130,500.00,’’ jelasnya sebagai menjawab soalan ADUN Teluk Bahang, Muhamad Kasim.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT