Tidak mahu insiden penutupan Empangan Mengkuang berulang, patuhi SOP – Exco

BERAPIT – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee enggan melihat insiden penutupan Empangan Mengkuang berulang lagi berikutan kegagalana pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Jelasnya, penutupan yang berlaku baru-baru ini memberi kesan kepada individu-individu yang benar-benar ingin datang untuk beriadah dan bersenam.

 

“Kalau nak datang ke sini, lepak-lepak, sembang-sembang dengan kawan, itu tidak digalakkan kerana ia mendorong kepada pelanggaran SOP apabila berkumpul beramai-ramai.
“Kasihan kepada orang lain yang memang datang sini untuk bersenam, berjoging dan sebagainya namun tidak dapat berbuat demikian sekiranya Empangan Mengkuang terpaksa ditutup.
“Difahamkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melalui polis bantuannya bersama-sama pihak polis juga akan melakukan rondaan kerap agar pengunjung mematuhi SOP ditetapkan,” ujar beliau ketika melawat kawasan riadah Empangan Mengkuang pagi ini setelah dibuka semula kepada umum semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pengeluaran PBAPP, Mariam Abd. Kadir.
Bercakap kepada pemberita Mariam memaklumkan, Empangan Mengkuang cuma dibuka kepada 350 orang sahaja dalam satu-satu masa bagi memastikan keadaan tidak terlalu padat.
“Kita juga sarankan  pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal tiga hingga lima meter dan tidak dibenarkan berkumpul.
“Selain itu pengunjung mestilah lengkap dua dos vaksin manakala 18 tahun ke bawah pula ditemani ibu bapa yang juga lengkap dua dos vaksin,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD