Bajet 2022 MBPP fokus aspek kebersihan, kemudahan awam

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM383.80 juta dalam Bajet 2022 bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, Bajet 2022 adalah berorientasikan keperluan rakyat, dengan perancangan yang strategik dalam menangani impak pandemik COVID-19 serta merangsang semula sosioekonomi masyarakat.

“MBPP akan terus bertungkus-lumus menangani krisis termasuk mengambil usaha bagi mengurangkan kesan ekonomi serta merangsang tadbir urus korporat yang berkesan dan berimpak tinggi.

MBPP membentangkan Bajet 2022 selaras dengan visi untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar raya Pintar, Mapan dan Sejahtera.

“Malah, MBPP juga akan terus meneroka kaedah relevan bagi menghadapi kesan pandemik ini tanpa berkompromi dengan keperluan untuk menegakkan kepentingan tadbir urus yang baik.

“Dalam masa sama, kita (MBPP) akan memastikan pembayar cukai mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat melalui pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan,” ujarnya ketika membentangkan Bajet 2022 MBPP dekat Dewan Bandaraya, di sini pagi ini.

Dalam sesi sama, Tung Seang memaklumkan bahawa Bajet 2022 merupakan satu bajet defisit sebanyak RM24.89 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM358.91 juta berbanding anggaran perbelanjaan.

“Sebanyak RM342.74 juta atau 89.30 peratus daripada anggaran keseluruhan Bajet 2022 adalah bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM41.07 juta atau 10.70 peratus lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

“Ia dirangka dengan memberi penekanan kepada enam fokus utama iaitu kebersihan melalui peruntukan berjumlah RM62.27 juta, diikuti kemudahan awam dan prasarana (RM27.15 juta), transformasi digital korporat (RM13.55 juta), kehijauan (RM11.03 juta), selamat (RM6.10 juta) dan sihat (RM1.62 juta),” jelasnya lagi.

Tambah beliau, Bajet 2022 yang bertemakan ‘Kelangsungan dan Kesejahteraan Hidup’ adalah bermatlamatkan amalan perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan kepentingan pembayar cukai.

“Tema ini juga selaras dengan wawasan seluruh dunia bahawa sesebuah bandar raya hendaklah mampu bangkit semula untuk mengarusperdanakan kemajuan sosioekonomi, pembaharuan kehidupan serta persekitaran mencabar dalam era endemik dan dunia digital,” katanya.

Ahli-ahli Majlis MBPP menyertai Ucapan Bajet 2022 secara telesidang.

Jelasnya beliau lagi, dalam usaha menjadikan kebersihan sebagai budaya, MBPP telah memperuntukkan sejumlah RM55.25 juta untuk pengurusan sisa domestik melibatkan pungutan sampah (RM21.57 juta), pemindahan (RM27.74) dan pelupusan (RM5.94 juta).

“Bagi tujuan itu, MBPP telah memperuntukkan sebanyak RM2.16 juta untuk membeli kenderaan dan jentera pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam.

“Selain itu, sebanyak RM2.17 juta pula diperuntukkan bagi pembersihan jalan, parit dan pemotongan rumput serta pembersihan parit besar selain RM1.8 juta untuk pembersihan pantai,” ulasnya lagi.

Menurut Tung Seang, sebanyak RM4.38 juta diperuntukkan bagi tujuan pembelian dan penyelenggaraan pokok-pokok teduhan untuk mengekalkan penghijauan di sekitar Pulau Pinang.

“Malah, kita juga memperuntukkan sebanyak RM6.10 juta untuk penyelenggaraan tanaman, kawasan rekreasi awam, padang dan pemotongan rumput di bahu jalan bagi mengekalkan persekitaran bandar raya yang bersih dan indah.

“Di samping itu, kita juga memperuntukkan sebanyak RM6.10 juta untuk menyelenggara semua kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada demi keselamatan awam.

“Selain itu, pelbagai pelan tindakan untuk merancang dan mengoptimumkan kemudahan-kemudahan awam melalui penaiktarafan pasar awam dan kompleks makanan, perumahan awam, infrastruktur jalan, serta pemuliharaan dan warisan,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan visi MBPP untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar raya pintar, RM13.45 juta telah diperuntukkan bagi memantapkan lagi kesalinghubungan digital di bahagian pulau.

“Ini bakal dilaksanakan melalui rancangan mengukuhkan sumber kepakaran, meningkatkan infrastruktur digital seperti pemasangan ‘fiberzation’, menambah baik pusat data, sistem aplikasi dalam talian serta automasi pejabat dan rangkaian.

“MBPP juga tidak ketinggalan dalam mencungkil bakat kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) bagi merapatkan jurang perbezaan digital dalam kalangan masyarakat pinggir bandar melalui peruntukan RM1.10 juta.

“Dalam membendung penularan COVID-19 yang belum tamat, MBPP akan memperuntukkan sejumlah RM0.5 juta untuk menjamin kesihatan dan keselamatan serta memberi perlindungan kepada tenaga kerja bagi tahun depan,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gamba : ALISSALA THIAN