Tidak mustahil The Habitat diiktiraf UNESCO sebagai Hutan Simpanan Biosfera Kekal

Admin

BUKIT BENDERA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yakin tarikan terbaru di atas Bukit Bendera, The Habitat mampu muncul sebagai pusat ekopelancongan bertaraf dunia.

Malah, juga tidak mustahil The Habitat diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa – Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Hutan Simpanan Biosfera Kekal.

“Sekarang ini, cuma dua kawasan menerima pengiktirafan daripada UNESCO iaitu Taman Negara Banjaran Crocker di Sabah dan Hutan Royal Belum di Perak.

“The Habitat berkemungkinan menerima pengiktirafan tersebut selepas kawasan hutan di Merbok, Kedah yang dikhabarkan bakal menerima pengiktirafan yang sama tidak lama lagi,” ucapnya di Simposium Kedua Kajian Hutan Simpanan Bukit Bendera Sebagai Hutan Biosfera Kekal di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng; Pengarah Pacific Tiger Group Limited, Reza Cockrell; Pengarah Urusan The Habitat, Allen Tan Heng Poe dan penyelidik dari Akademi Sains California, Dr. Meg Lowman.

Guan Eng dalam pada itu menegaskan, selain memelihara dan memulihara kawasan hutan untuk masa hadapan, tindakan tersebut juga penting sebagai punca tadahan air.

“Langkah ini (memelihara dan memulihara) mampu mengekalkan keseimbangan ekosistem dan tidak mengganggu alam sekitar. Sepertimana yang semua tahu, kita (Kerajaan Negeri) amat menitikberatkan kawasan tadahan hujan selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri yang ‘tidak mahu catuan air’ di negeri ini.

“Jadi, apabila hutan dijaga sepenuhnya, maka sumber air juga tidak akan terganggu ,” katanya.

Pada simposium tersebut, pakar-pakar perhutanan dan warisan dari dalam dan luar negara berkongsi pentas untuk menambah baik idea bagi menjadikan hutan hujan berusia 130 juta tahun di atas Bukit Bendera berkaitan sebagai Hutan Simpanan Biosfera Kekal di negeri ini.