Tidak semua pokok dipotong – MPPP

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bercadang untuk memindah 20 pokok teduh serta menanam semula 44 pokok lain yang ditebang di sepanjang Jalan Masjid Negeri, di sini bagi projek melebar jalan tersebut ke arah rancangan penyuraian trafik sebagaimana yang dituntut oleh rakyat.

Justeru, Timbalan Pengarah Kejuruteraannya, Ir. A. Rajendran berkata, MPPP sebenarnya sama prihatin dengan bantahan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris di sini baru-baru ini.

“Sebagai MPPP, kita perlu menimbang antara keperluan menyuraikan kesesakan trafik yang dituntut pengguna di jalan ini dan pada masa yang sama kita fikir bagaimana mahu selamatkan semua pokok ini,” ujar beliau pada sidang media yang diadakan di lokasi berkenaan petang tadi.

Pengarah Kejuruteraan MPPP, Ir. Addnan Mohd. Razali, Nor Rezan Sulaiman (Jurutera Lanskap) turut hadir pada sidang media itu.

Rajendran berkata, kesemua pokok berwajib akan ditanam semula di sekitar Jalan Masjid Negeri berkenaan kelak demi mengekalkan kualiti udara yang sihat seperti yang dituntut CAP.

Malah katanya, tidak semua pokok dipotong di sepanjang 700 meter jalan tersebut.

Difahamkan, MPPP memperuntukkan RM7.5 juta bagi melebarkan jalan tersebut.

Demi mencari titik persefahaman, Rajendran berkata, MPPP turut mengadakan suatu perbincangan membabitkan CAP, Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Sahabat Taman Botani Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Terdahulu, CAP bersama-sama 50 aktivis alam sekitar dan penduduk setempat melancarkan piket memprotes cadangan MPPP itu.

A. Rajendran (dua dari kanan) menjelaskan kepada pihak media berhubung isu memprotes ‘penebangan’ pokok oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini baru-baru ini.
A. Rajendran (dua dari kanan) menjelaskan kepada pihak media berhubung isu
memprotes ‘penebangan’ pokok oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini
baru-baru ini.