BEROPERASI lebih tiga dekad, Mee Sg. Acheh yang diasaskan Haji Mat Razi bin Ali di atas tanah industri milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Acheh dekat Tanjung Berembang kini boleh dikatakan menjadi salah satu mercu tanda kejayaan industri desa dekat kawasan tempatan.
Menjelang tengah hari tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD dibawa melawat ke kilang tersebut.
Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul yang juga Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Pulau Pinang dengan diiringi Pengerusi PPK Sungai Acheh, Haji Fadzil Ahmad turut meluangkan masa melawat kilang milik usahawan Melayu dan Bumiputera berkenaan.
Pegawai perhubungan, SITI ZAHARAH KASIM, 44, memberitahu bahawa kilang tersebut kini diusaha oleh anak kepada pengasas produk Mee Sungai Acheh yang bernama Hasliza Mat Razi
“Seperti yang dapat dilihat di kilang ini sekarang, pengeluaran ‘mi kuning’ dan ‘kuetiau putih’ sepenuhnya dengan menggunakan mesin.
“Dasar automasi dalam pengeluaran dua produk makanan jenama Mee Sg. Acheh ini sejak tahun 2012 lagi (yang mana) kami membuat pinjaman bank untuk membuat pelaburan modal lebih RM200,000 bagi membeli mesin ini.
“Dengan adanya mesin automasi ini, kami mampu mengeluarkan sejumlah lima hingga enam tan ‘mi kuning’ dan ‘kuetiau putih’ setiap hari bagi memenuhi permintaan domestik di tiga negeri utama iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak,” jelasnya dalam sesi temu ramah di sini pada 7 Ogos 2025.

Pun begitu, Zaharah memberitahu bahawa ada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri tersebut sungguhpun permintaan pelanggan pada dwi produk jenama Mee Sg. Acheh senantiasa menggalakkan.
Salah satu cabaran yang dimaksudkan, menurutnya, adalah peningkatan harga bahan mentah dan juga harga minyak diesel.
“Susulan peluasan skop SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan sejak 1 Julai lepas, buat masa ini industri Mee Sg. Acheh masih menyerap kos-kos operasi berkaitan dan mengekalkan harga semasa,” jelasnya dalam nada sederhana.
Selain itu, beliau berkata ketika ini payah untuk mendapat sumber tenaga dalam kalangan golongan muda lokal bekerja di kilang Mee Sg. Acheh.
“Tujuan Mee Sg. Acheh bukan sahaja mengeluarkan ‘mi kuning’ dan ‘kuetiau putih’ untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mencari produk halal dan Bumiputera, kalau boleh kita mahu industri luar bandar seperti ini turut memberi peluang kerjaya untuk anak-anak muda tempatan.
“Namun, anak muda tempatan pun ramai memilih untuk keluar dari Kawasan (Dewan Undangan Negeri, KADUN) Sungai Acheh kerana merasakan gaji bulanan yang ditawarkan oleh majikan kilang-kilang multinasional di luar sana adalah lebih tinggi berbanding gaji di sini (kilang Mee Sg. Acheh),” jelasnya lagi.

Melihat prospek Mee Sg. Acheh, Zaharah berkata memang ada perancangan peringkat syarikat untuk memperbesar operasi pengeluaran ‘mi kuning’ dan ‘kuetiau putih’ pada masa hadapan.
“Sebelum ini, memang pernah mendapat geran bantuan dalam bentuk mesin, cuma hayat boleh guna tidak lama, maka sebab itu akhirnya kami membuat pinjaman modal untuk membeli sendiri mesin automasi yang lebih berkualiti.
“Justeru, kalau ada geran bantuan daripada agensi berkaitan selepas ini, sebolehnya diberikan dalam bentuk duit Ringgit supaya mana-mana usahawan boleh memilih sendiri mesin atau jentera yang lebih sesuai, berkualiti serta dari sudut hayat nilai guna lebih panjang serta kos selenggara rendah.
Mengakhiri sesi temu ramah, Zaharah berkata industri Mee Sg. Acheh memang ada perancangan untuk memindahkan operasi ke kilang yang lebih baik serta selesa, cuma tidak ada banyak pilihan kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam KADUN Sungai Acheh sendiri.
“Kalau pada masa hadapan, ada kawasan khusus untuk IKS di Tanjung Berembang ataupun Kadun Sungai Acheh, mungkin kita akan mempertimbang untuk memindahkan kilang ke kawasan baru dengan perancangan untuk meningkatkan lagi produktiviti ‘mi kuning’ dan ‘kuetiau putih’ jenama Sungai Acheh,” jelasnya lagi.
Info lanjut atau tempahan produk jenama Mee Sg. Acheh boleh dibuat dengan menghubungi nombor telefon 0175364164 ataupun 0134720976.
END