Tiga empangan utama Pulau Pinang capai kapasiti optimum

c65c41b3 eb55 492d b24a 9eed5d9b7585

GEORGE TOWN – Tiga empangan utama di Pulau Pinang berada pada tahap kapasiti efektif yang optimum 90 peratus menjelang musim kering yang dijangka bermula Januari 2026.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan, keadaan itu susulan musim Monsun Timur Laut yang dipengaruhi fenomena iklim La Nina yang menyebabkan jumlah taburan hujan tinggi di kawasan tadahan air (KTA) empangan dari September hingga November lalu.

“Buat pertama kali sejak 2017, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang melebihi paras 90 peratus dengan bacaan hari ini menunjukkan Empangan Teluk Bahang pada tahap 98.9 peratus, Empangan Air Itam (93.4 peratus) manakala Empangan Mengkuang Diperbesarkan (92.2 peratus).

“Status memberangsangkan di tiga empangan utama negeri ini memberi petanda positif terhadap kedudukan bekalan air negeri menjelang sambutan Krismas serta Tahun Baharu 2026,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, peningkatan kapasiti efektif itu turut disumbangkan melalui pelaksanaan beberapa inisiatif PBAPP termasuk Pelan Tindakan Empangan Air Itam serta mengepam air ke kawasan perkhidmatan Air Itam dan Farlim dari Loji Rawatan Air Sungai Dua.

“Langkah ini dibuat bertujuan meminimumkan pelepasan serta mengoptimumkan abstraksi air mentah dari muka sauk utama.

“Selain itu, PBAPP turut melaksanakan pengisian semula strategik Empangan Teluk Bahang berkapasiti 18,240 juta liter dengan air mentah disalurkan dari KTA Batu Ferringhi dan KTA Sungai Pinang.

“Bagaimanapun,  taburan hujan di Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan pada bulan ini dengan jangkaan musim kering bermula minggu kedua Januari 2026, manakala cuaca diramalkan kering pada Februari dan Mac iaitu ketika sambutan Thaipusam, Tahun Baharu Cina serta Hari Raya Aidilfitri,” ulasnya lagi.

Sehubungan itu, Pathmanathan berkata PBAPP dijangka melakukan pelepasan air secara ketara di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang bagi menyokong keperluan air semasa musim perayaan serta persediaan menghadapi peningkatan kehadiran tetamu luar dan pelancong.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tetap mengamalkan penjimatan air ekoran musim kering yang dijangka berlaku pada awal tahun hadapan.

c4c38fae b6de 4814 a9fc a6f3a4fcf458

Kapasiti semasa sehingga 12:30 tengah hari tadi, Empangan Air Itam berada pada paras 93.4 peratus, Teluk Bahang (98.9 peratus) dan Mengkuang (92.2 peratus).

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN