Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang bakal galas tanggungjawab baru di Bukit Aman

Admin
whatsapp image 2024 04 04 at 12.14.03 pm

KEPAKARAN dan pengalaman yang cukup luas dalam bidang siasatan jenayah kini telah membawa kepada pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula 15 April ini.

Beliau tidak lain tidak bukan, ialah Deputi Komisioner Polis (DCP), Dato’ Mohamed Usuf Jan Mohamad yang merupakan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang merangkap Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang ketika ini.

Dalam temu bual bersama-sama Buletin Mutiara, Mohamed Usuf Jan yang memulakan perkhidmatan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1988, turut berkongsi mengenai pengalaman beliau yang sangat panjang bidang penyiasatan dan operasi selama hampir 17 tahun.

“Saya kemudiannya bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman, juga di bahagian operasi dan siasatan selama lebih 15 tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai DCP.

“Sebahagian besar kerjaya saya adalah tertumpu kepada siasatan jenayah dan operasi sebelum ditukarkan ke Pulau Pinang sebagai Timbalan Ketua Polis pada Ogos tahun lalu (2023).

“Pada 15 April ini, saya secara rasmi akan menyerahkan tanggungjawab saya kepada pengganti saya nanti,” katanya ketika ditemui dekat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam.

Beliau berkata, pengalaman sepanjang bertugas di Pulau Pinang sangat menarik terutamanya kerjasama baik yang diterima daripada Kerajaan Negeri serta agensi-agensi berkaitan yang lain.

“Saya hendak zahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Setiausaha Kerajaan Negeri, barisan Exco serta wakil-wakil rakyat yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada pasukan PDRM.

“Kami telah menjalinkan hubungan yang baik serta semangat kerjasama yang sangat bagus termasuk dengan msayarakat setempat, dan secara peribadinya saya sangat gembira bekerja di negeri Pulau Pinang,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR