Timbalan Menteri & Exco ziarah keluarga kanak-kanak mangsa kebakaran

Admin
PANTAI JEREJAK – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin petang tadi meluangkan masa menziarahi keluarga kanak-kanak yang terkorban dalam tragedi kebakaran kontena di Kampung Jawa, Bayan Baru di sini tengah hari tadi.
Sempena ziarah tersebut,Tze Tzin turut menyampaikan wang khairat kematian kepada keluarga arwah adik Muhammad Saifuddin Ali Subahan,8.
Tze Tzin yang juga Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani dalam kenyataannya mengucapkan takziah dan menyeru para ibu bapa agar menasihati anak masing-masing agar lebih berhati-hati dan berwaspada bagi mengelakkan bahaya kebakaran.
Turut serta Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jawa.
Sebelum itu, Tze Tzin dan Abdul Halim sempat mendapatkan maklumat ringkas berhubung kejadian malang tersebut daripada pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tersebut, Allahyarham Muhammad Saifuddin dikatakan sedang bermain di dalam kontena tersebut yang dijadikan tempat menyimpan barang-barang terpakai sebelum terperangkap di dalam kontena yang hangus terbakar.