GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memberi fokus kepada usaha untuk meningkatkan fasiliti membabitkan warga emas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berkata antara fokus tersebut termasuklah mewujudkan kemudahan berkaitan warga emas di taman-taman awam dan premis-premis kerajaan.
“Untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang mesra warga emas, kita perlu memastikan kemudahan awam seperti taman rekreasi, tandas dan pusat perkhidmatan kerajaan mudah diakses dan mesra kepada golongan ini.
“Terdapat beberapa kemajuan, contohnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menyediakan peralatan senaman luar di beberapa taman dan memperbaiki laluan pejalan kaki di kawasan pelancongan seperti Padang Kota Lama.
“Namun demikian, kebanyakan kejiranan masih kekurangan ruang khusus yang selamat untuk warga emas berkumpul,” katanya ketika membahaskan Ucapan Perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Lee Lee juga menggesa komuniti warga emas di sini agar mengikut contoh negara Jepun yang mengambil golongan tersebut sebagai sukarelawan sukan.
“Kajian pada tahun 2022 mendapati bahawa 7.6 peratus warga emas Jepun terlibat dalam kerja sukarela berkaitan sukan dan senaman seperti mengatur atau mengajar sesi senaman komuniti.
“Sukarelawan pesara menjalankan kelas senaman pencegahan seperti ‘silver-rehabilitation taisou’ dan Square-Stepping Exercise membantu rakan sebaya mengekalkankesihatan,” maklumnya lagi.
Mengulas lanjut, Lee Lee memaklumkan bahawa proses digital dan prosedur yang rumit turut menyukarkan warga emas mendapatkan maklumat atau perkhidmatan kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Lee Lee menyatakan bahawa makluman daripada Action Plan of the Age-Friendly City pada Mei 2024, kebersihan taman di bahagian pulau dijangka meningkat sebanyak 70 peratus menjelang hujung tahun ini.
“Sekurang-kurangnya empat taman serta bangunan awam akan dilengkapi dengan ciri Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) daripada inisiatif ini.
“Infrastruktur seperti hentian bas, laluan pejalan kaki, terminal bas Komtar dan kemudahan di Pengkalan Tun Raja Uda juga akan dinaik taraf,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN