Tingkat penguatkuasaan tangani peningkatan kes COVID-19, gesa Jagdeep

SEBERANG JAYA – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menggesa agar kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi menangani peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata, pembukaan beberapa sektor baharu sebagaimana diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini memerlukan kedua-dua Majlis Bandaraya mempergiatkan lagi pemantauan terutamanya berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Pulau Pinang pernah diisytihar sebagai zon hijau dan menjadi negeri pertama dalam negara yang mempunyai rekod terpanjang tanpa kes baru COVID-19 iaitu selama 104 hari pada tahun lepas.

Jagdeep Singh Deo ketika menjayakan sambutan Hari Bandaraya 2021 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

“Walau bagaimanapun, semalam (16 September 2021) kita merekodkan sebanyak 1,777 kes baru dengan kebanyakan kes adalah dicatatkan di kawasan Seberang Perai.

“Oleh itu, kedua-dua Majlis Bandaraya iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) perlu meningkatkan usaha untuk membantu mengurangkan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Bandaraya 2021 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta Ketua-ketua Jabatan MBSP.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata bahawa MBSP kini berada di landasan terbaik dalam menjadikan Seberang Perai sebagai bandar pintar.

“Ini dapat dilihat daripada jumlah transaksi tanpa tunai yang direkodkan di Seberang Perai pada Ogos lalu iaitu seramai 1,512 penjaja telah menyediakan inisiatif ini dengan hampir 370,000 transaksi bernilai RM7.1 juta dilakukan.

“Selain itu, sebanyak 23 agensi Negeri dan PBT telah 100 peratus menyediakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai yang mana pada Ogos lalu, sebanyak satu juta transaksi dilakukan dengan kutipan lebih RM1 bilion.

“Inisiatif tanpa tunai perlu diteruskan kerana ia dapat mengurangkan sentuhan sekali gus dapat mengurangkan penularan pandemik COVID-19,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sementara itu, Rozali memaklumkan bahawa MBSP akan melanjutkan tempoh bayaran cukai taksiran tahun 2021 sehingga 31 Disember ini tanpa denda sebagai tanda penghargaan kepada penduduk Seberang bersempena dengan Hari Bandaraya.

“Program Klinik Tunggakan Cukai Taksiran Khas 2021 untuk mencari kaedah yang sesuai pembayaran cukai taksiran juga akan dilaksanakan selain diskaun kompaun semua kesalahan-kesalahan mulai 16 September sehingga 31 Disember 2021.

“Kompaun tempat letak kereta pula dikenakan bayaran RM15.00 atas satu kesalahan manakala kompaun lain dikurangkan sebanyak 50 peratus,” umumnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gamba : MBSP