GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang mempergiat promosi ekopelancongan menerusi pelbagai inisiatif strategik bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, Kerajaan Negeri melalui Penang Global Tourism (PGT) kini menumpukan promosi destinasi berasaskan alam seperti Taman Negara Pulau Pinang; Hutan Simpan Bukit Mertajam (dekat Cherok To’ Kun); Hutan Paya Bakau Sungai Acheh; Entopia; Penang Hill UNESCO Biosphere Reserve; Kampong Agong dan Penang River Cruise di Sungai Juru.
“Fokus diberikan kepada aktiviti mendaki bukit, jelajah hutan, pemerhatian burung, pelancongan pendidikan serta program kesedaran biodiversiti.
“Aplikasi Penang Hill Hiking Trails telah dilancarkan sebagai panduan digital kepada pendaki Bukit Bendera, manakala jeti utama ke Taman Negara Pulau Pinang turut siap dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan pelawat ke Pantai Kerachut, Rumah Api Muka Head dan Pusat Penyelidikan Marin dan Pantai (CEMACS).
“Entopia pula memperkenal Entopia by Night iaitu pengalaman taman biofluorescent pertama di dunia.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperluas pelancongan berasaskan komuniti di kawasan luar bandar seperti Pulau Aman, Nibong Tebal dan Balik Pulau, yang menawarkan pakej lawatan ladang, aktiviti memancing dan pengalaman desa,” ujarnya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2025.
Beliau yang juga ADUN Paya Terubong memaklumkan bahawa PGT turut berkerjasama dengan penggiat industri pelancongan tempatan dalam pembangunan pakej pelancongan wajar, selain memperhebat promosi digital menerusi media sosial seperti YouTube MyPenang dan laman rasmi pelancongan negeri.

Selain itu, katanya, Sambutan Hari Warisan Seberang Perai bersempena Festival Penang2030 yang diadakan di Kampung Agong pada 12 Julai 2025 turut membantu meningkatkan kesedaran terhadap tarikan ekopelancongan luar bandar.
“Malah, pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga sedang melaksanakan Kajian Inventori Produk Pelancongan Seberang Perai bagi ketiga-tiga daerah di Seberang Perai yang dijangka siap pada 2026.
Kajian ini bertujuan mendokumentasikan produk pelancongan dalam kategori warisan, budaya, gastronomi, agropelancongan, ekopelancongan, sukan dan rekreasi.
“Ini termasuk jalinan bekerjasama dengan pihak swasta dan komuniti seperti Auto-City Group, Think City Sdn. Bhd., serta agensi pelancongan negeri lain dalam membangunkan Penang River Cruise di Sungai Juru, yang membawa pengunjung menyusuri perkampungan nelayan, ladang akuakultur dan hutan paya bakau.
“Selain itu, usaha melabelkan kawasan Teluk Air Tawar – Kuala Muda sebagai destinasi ekopelancongan strategik turut dipergiat melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).
“(Dan) pada masa sama, inisiatif Bird Flyway bagi melindungi habitat burung migrasi juga dijalankan sekali gus mengukuhkan potensi pelancongan alam semula jadi di Seberang Perai,” jelasnya lanjut.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT