Tinjauan : Aktiviti sihat bersama keluarga elak risiko gangguan mental si kecil semasa PKP

Admin
YUIZAN Yaacob (kiri) menjadikan aktiviti bercucuk tanam sayuran organi di halaman rumah sebagai medium elak risiko kebosanan dalam kalangan anak-anak semasa ‘lockdown’ di sini.

AIR ITAM – Tinjauan isi rumah yang dikendalikan pertubuhan kemanusiaan terhadap kanak-kanak, World Vision mendapati 19 peratus kanak-kanak berdepan tekanan teruk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lima peratus lagi mengalami penyakit mental.

Lebih merumitkan, Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) pernah dilaporkan berkata bahawa kanak-kanak tidak dapat menghadiri proses terapi kerana persetujuan ibu bapa diperlukan bagi tujuan itu.

Malah, disebabkan kurangnya pengetahuan dan pemahaman mengenai isu kesihatan mental, kebanyakan ibu bapa gagal mengesan atau memberi tindak balas sewajarnya kerana kurang pasti tahap serius gejala mental.

Prihatin dengan isu tersebut, Buletin Mutiara membuat tinjauan serta mendapatkan maklum balas ibu bapa mengenai kaedah melakukan aktiviti sihat bersama dengan anak-anak mereka sepanjang tempoh sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Berkongsi pendapat, YUIZAN YAACOB, 20-an memberitahu bahawa sejak tahun lepas lagi beliau menjalankan aktiviti penanaman sayur-sayuran di halaman rumah bersama-sama anak.

Tinggal di kuarters kerajaan berhampiran Masjid Negeri Pulau Pinang, beliau memberitahu bahawa hobi baharu itu demi mengurangkan risiko perasaan bosan kerana terlalu lama tidak merentasi daerah mahupun ke luar negeri.

“Saya bimbang tahap kecerdasan anak-anak ‘terganggu’ kerana begitu lama ‘berkurung’ di rumah (disebabkan PKP), jadi saya akan memastikan masa anak-anak diisi dengan aktiviti yang riang dan berkualiti.

“Selalunya anak-anak akan habiskan PdPR mereka terlebih dahulu, sebagai ganjaran, baru kami akan bercucuk-tanam di halaman rumah.

“Selama ini kami membeli sayur-sayuran di pasar raya yang mungkin menggunakan baja kimia, saya dan anak-anak cuba tanam sendiri sayur-sayuran dengan menggunakan baja organik.

“Ternyata hasil tanaman lebih sihat kerana menggunakan baja organik yang anak-anak sendiri tanam dan tuai hasil.

“Jadi, saya dapati aktiviti sebegini ternyata dapat mengurangkan risiko kebosanan buat anak-anak dan saya sendiri setelah lama berkurung di rumah,” jelasnya kepada jurugambar LAW SUUN TING dan wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada 23 Ogos 2021.

AKTIVITI baharu sebegini bukan sahaja memberi pengalaman baru, juga menghakis rasa bosan ‘kekal duduk’ di rumah.

Sebelum itu, MASRI CHE ANI, 47, jurugambar memberitahu bahawa beliau sendiri seakan-akan menyedari tahap perkembangan kecerdasan dua anaknya yang berusia 9 dan 12 tahun ketika ini adalah sedikit ‘terganggu’ berbanding sebelum pelaksanaan PdPR.

“Banyak masa dihabiskan dengan permainan e-sukan sahaja kerana tidak ada banyak pilihan untuk menjamin mereka kekal duduk di rumah.

“Kecerdasan anak-anak daripada segi pelajaran (PdPR) pula, saya lihat sesi persekolahan secara bersemuka lebih bagus, mungkin kerana guru-guru di kelas lebih terlatih berbanding ibu bapa yang tiada pedagogi pendidikan berkaitan untuk membantu proses menyiapkan kerja sekolah anak-anak di rumah.

“Apabila dibenarkan aktiviti riadah seperti berjoging serta kayuhan basikal di kawasan perumahan, boleh dikatakan pada hari yang saya dan isteri bekerja dari rumah (BDR), kami akan beriadah dalam radius yang dibenarkan,” jelasnya lagi.

AKTIVITI memindahkan benih tanaman dari tapak semaian.

Sementara itu, seorang guru sekolah kerajaan yang mahu dikenali sebagai JUNAIDAH ABU BAKAR, 40, memberitahu bahawa tanggungjawab menyediakan alat bantu mengajar untuk sesi PdPR kadangkala menyebabkan tumpuan pada perkembangan emosi anak-anak sedikit terabai.

“Guru sekolah kerajaan, walaupun tidak ke sekolah sepanjang tempoh PdPR, komitmen mereka masih tinggi yang mana perlu menyediakan alat bantu mengajar secara maya, selain tanggungjawab menguruskan rumah tangga.

“Kadangkala pelbagai urusan yang menghambat di rumah pada satu-satu masa menyebabkan saya sendiri terlepas pandang aspek emosi anak-anak yang boleh beriadah di halaman rumah sahaja.

“Saya kira keluarga saya bernasib baik kerana ada capaian jalur lebar berkapasiti tinggi yang bagus di kawasan tempat tinggal kami sekeluarga.

“Anak-anak boleh melayari aplikasi TikTok dan YouTube…kadangkala beliau dan rakan-rakan sekelas turut mengadakan sesi telesidang dengan menggunakan Zoom, dan kita dapat pantau aktiviti sosial mereka di rumah,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau turut mengolah silibus subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RTB) mengikut kesesuaian umur anak yang berusia 7 dan 13 tahun.

“Modul RBT ada banyak, selalu saya dan anak-anak masuk ke dapur untuk menyediakan menu makan mudah kalau tidak berkebun di belakang rumah,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa beliau dijadual mendapatkan suntikan kedua pelalian COVID-19 pada 2 September depan.

Ditanya mengenai sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadual buka pada 3 Oktober ini, Junaidah berkata bahawa beliau akan menunggu perkembangan program vaksinasi selanjutnya.

“Kita akan ‘tunggu dan lihat’ kerana anak-anak langsung tak dapat walau satu suntikan vaksin sungguhpun imuniti mereka mungkin lebih kuat berbanding kita yang dewasa,” ujarnya lagi.