Tinjauan : BUDI95 mula sepenuhnya, dinikmati 16.4 juta rakyat Malaysia

db37289d 3582 4d7c a33b 969b506e364a WONG Yuee Harng menunjukkan resit transaksi seorang pelancong asing di terminal pembayaran automatik, membeli minyak RON95 dengan harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 per liter di sini pada 30 September 2025.

TEPAT jam 12 tengah malam tadi, seramai 16.4 juta rakyat yang memiliki lesen memandu aktif mula menikmati inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), sekali gus memberi kelegaan kepada orang ramai dalam perbelanjaan harian.

Inisiatif baharu itu menetapkan harga seliter minyak bersubsidi jenis RON95 pada RM1.99 berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan had pembelian bulanan sebanyak 300 liter (l).

Menjelang tengah hari ini, 30 September 2025, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, SIEW CHIA EN berkesempatan menyertai pasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng meninjau pelaksanaan BUDI95 di Stesen Shell Pengkalan Weld,George Town.

Kelihatan beberapa petugas stesen minyak bersiap siaga membantu pelanggan menggunakan sistem subsidi bersasar baharu itu.

Buletin Mutiara dimaklumkan, sejak 27 September lagi mereka telah memainkan peranan sebagai pemudah cara apabila BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat, yang mana melibatkan 300,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), disusuli fasa berikutnya pada 28 September 2025 dengan melibatkan seramai lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Reaksi pengguna

4be8820d 4458 403c 83ee 1cf12f24da5c
FARRIN Ikhwan Zailani

FARRIN IKHWAN ZAILANI, 28, pekerja sektor perkhidmatan berkata, sistem baharu itu mudah dicapai serta menjimatkan.

“Kalau menggunakan kad kredit atau debit di terminal pembayaran, pengguna hanya perlu memasukan kad kad pengenalan sahaja.

“Bagi saya, BUDI95 adalah cara terbaik Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan subsidi minyak (RON95) kepada rakyat.

“Cuma, saya tak dapat menikmati BUDI95 ini kerana cip pada kad pengenalan saya tidak boleh dibaca di terminal pembayaran…mungkin perlu tukar kad pengenalan baharu,” jelasnya.

1d98c59a 3a1b 4baa a259 b0bd3aacfc6a
‘THEEBAN’

Bekerja di sektor pelancongan negeri, seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai ‘Theeban’ berkata, pada tengah hari tadi merupakan kali pertama beliau menikmati subsidi BUDI95.

“Transaksi cuma mengambil masa tidak sampai 2 minit.

“Mulanya, saya sedikit keliru apabila membuat pembayaran, contohnya transaksi RM5, jumlah minyak yang diberikan adalah berdasarkan harga subsidi bukan transaksi harga selepas pemotongan enam sen bagi setiap liter,” jelasnya lagi.

Buletin Mutiara turut menyaksikan seorang pelancong asing membuat transaksi minyak jenis RON95 untuk motosikal yang disewanya di sini.

Berdasarkan resit yang dicetak dari terminal pembayaran, didapati pelanggan bukan warganegara berkenaan membeli minyak pada harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 per liter.

Pandangan wakil rakyat

Dalam sidang media selepas itu, Yuee Harng berkata bahawa pelaksanaan BUDI95 secara berperingkat ternyata bagus kerana menyalurkan subsidi kerajaan kepada rakyat Malaysia sahaja.

f08988ff f6e2 44d7 8ca9 46f9065baa9c
WONG Yuee Harng

“Sejak awal pagi tadi, saya membuat tinjauan dan mendapatkan maklum balas di sini, secara umum tidak ada masalah kecuali warganegara yang mempunyai masalah pada kad pengenalan mereka sahaja.

“Untuk bukan warganegara termasuk pelancong asing yang tidak dapat subsidi minyak (BUDI95), resit pembayaran menunjukkan mereka membayar minyak (RON95) pada harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter.

“BUDI95 ini memastikan subsidi minyak secara bersasar serta tepat kepada rakyat Malaysia sahaja, berbanding dahulu semula orang dapat minyak petrol bersubsidi serta ada diseludup keluar orang bukan warganegara,” jelasnya lagi.

Pada 28 September lepas, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut mengadakan tinjauan lapangan serta mendapatkan maklum balas daripada penerima STR yang membuat transaksi BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Jalan Raja Uda.

Turut serta, mantan Ketua Menteri, Tuan Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih; dan ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen.

Hui Ying memberitahu Buletin Mutiara bahawa rakyat Malaysia boleh menikmati BUDI95 dengan hanya menggunakan kad pengenalan semasa membuat transaksi tunai di kaunter pembayaran; atau tanpa tunai menerusi terminal pembayaran automatik.

END