Tinjauan: Longwan menjadi tumpuan musim kembali ke sekolah

Admin
img 3261 GAMBAR hadapan pasar raya Longwan dekat Jalan Baru, Seberang Jaya di sini.

SEBERANG JAYA – Rangkaian pasar raya Longwan terus menjadi lokasi pilihan utama ibu bapa bagi membuat persiapan akhir sebelum sesi persekolahan bermula pada 12 Januari 2026 nanti.

Tinjauan wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di pasar raya Longwan, Jalan Baru mendapati rata-rata kelengkapan sekolah termasuk seragam pelajar sekolah rendah, menengah serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif berbanding premis lain.

Sebagai contoh, baju kurung putih sekolah rendah dijual pada harga serendah RM10.99 sehelai, kain kurung biru (RM14.99), kasut sekolah hitam (RM8.99), manakala beg sekolah pula berharga RM19.90. Malah, track bottom ditawarkan serendah RM4.99, baju sekolah lelaki (RM10.99) serta set pakaian prasekolah bermula dari RM11.99 hingga RM18.99.

img 3268
DI pasar raya Longwan, didapati promosi pakaian termasuk seragam sekolah dan prasekolah yang berkualiti dengan tawaran harga patut.

Bagi seorang suri rumah, SITI ZUBAIDAH ZAKARIA, 46, kualiti material yang ditawarkan di sini jauh lebih baik walaupun harganya murah.

img 3267
SITI Zubaidah Zakaria

“Harga di sini memang berpatutan. Sebagai contoh, tudung putih hanya RM6 sehelai berbanding RM10 di tempat lain, sedangkan kualiti kainnya hampir sama,” katanya yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Siti Zubaidah turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan awal persekolahan daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) berjumlah RM150 bagi setiap pelajar asnaf.

“Bantuan tersebut saya gunakan untuk membeli kelengkapan di kedai yang ditetapkan melalui baucar e-tunai. Namun untuk pakaian prasekolah dan KAFA yang perlu menggunakan wang sendiri, saya lebih memilih Longwan kerana faktor harga,” tambahnya.

img 3266
SITI Zubaidah Zakaria bersama-sama tiga orang anaknya sesuai sesi tinjauan lapangan di perkarangan hadapan pasar raya Longwan, Jalan Baru pada 8 Januari 2026.
img 3264
MOHD. Ikhwan Saleh bersama-sama anak sulungnya, Nurul Jannah sedang meninjau bahan material dan harga beg sekolah sebelum membeli di sini sebentar tadi.

Nada yang sama turut dikongsi oleh MOHD. IKHWAN SALEH, 31. Beliau yang pertama kali membeli kelengkapan sekolah untuk anak sulungnya, Nur Jannah Mohd. Ikhwan, memilih Longwan setelah disyorkan oleh pihak melalui risalah sekolah.

img 3265
MOHD. Ikhwan Saleh

“Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman membandingkan harga, saranan pihak sekolah meyakinkan saya bahawa Longwan menawarkan harga murah dengan kualiti material yang baik,” jelas pekerja sektor perindustrian di Batu Kawan itu.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai langkah Kerajaan Persekutuan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 secara tunai bagi tahun 2026 yang memanfaatkan kira-kira 5.2 juta murid.

“Macam anak sulung saya akan menyertai sesi orientasi esok (9 Januari 2026), mungkin sekalian waris akan diberitahu mengenai perkara ini juga (program BAP),” jelasnya lagi.

img 3262
AZMI Nurul Azhar sedang mengacu pakaian seragam sekolah kepada anak saudaranya, Mohd. Sufi Rosli, 9, di sini sebentar tadi.

Bagi kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), AZMI NURUL AZHAR, 40, Longwan sudah menjadi lokasi wajib setiap tahun.

img 3263
AZMI Nurul Azhar

“Bukan sahaja pada musim awal persekolahan, sepanjang tahun baju seragam sekolah dan pakaian lain termasuk untuk orang dewasa di Longwan memang berkualiti dan harga ‘mampu beli’.

“Semua kelengkapan sekolah untuk dua anak saya yang berusia 14 tahun dan 11 tahun telah saya beli.

“Pada hari ini, saya ke sini (Longwan dekat Jalan Baru) untuk membuat persiapan akhir untuk seorang lagi anak saudara saya yang akan masuk Darjah 3,” jelasnya sambil berkata beliau sekeluarga tidak kisah pun kalau pelanggan di sini agak ramai menjelang musim kembali ke sekolah kerana barang-barang yang ditawarkan di sini berkualiti dan harga patut.