BATU MAUNG – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid melancarkan Kempen Zakat Sprint Month dalam merealisasikan sasaran kutipan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) RM200 juta.
Jelasnya, Zakat Sprint Month yang bermula sejak 15 hingga 31 Disember ini memberi peluang kepada pembayar zakat untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa pakej umrah dan pelbagai hadiah-hadiah lain.
“Pada tahun 2025, kita telah menetapkan sasaran kutipan sebanyak RM200 juta.
“Sehingga 30 November 2025, kita telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM143,447,798.47, iaitu pencapaian memberangsangkan 72.0 peratus daripada sasaran.
“Ini bermakna, kita kini hanya memerlukan tambahan sebanyak RM56,552,201.53 atau 28 peratus sahaja dalam bulan Disember untuk mencapai matlamat yang disasarkan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Penutup Kembara Zakat 2025 & Penyerahan Saguhati Jawatankuasa Kariah di Masjid Al-Huda Sungai Ara di sini semalam.
Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Dato’ Rosli Halim;Mufti Kerajaan Negeri, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohd Khairi Ghazalli dan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Abdul Mohsein Mohd. Shariff.
Tambahnya, keutamaan Zakat MAINPP bukan sahaja terletak pada kutipan, tetapi juga pada keberkesanan agihan zakat kepada asnaf yang selayaknya.
Untuk tahun 2025, peruntukan agihan yang telah ditetapkan adalah sejumlah RM199,752,489.
“Sehingga 30 November 2025, kita telah berjaya mengagihkan sebanyak RM171,528,178.76, yang bersamaan dengan 86 peratus daripada keseluruhan peruntukan.
“Angka ini menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan dana zakat disalurkan dengan pantas dan tepat kepada mereka yang berhak,” maklumnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Pada majlis sama turut berlangsung Zakat Fun Run di sesi pagi melibatkan 1,500 orang, Jelajah Asnaf Zakat (sebelah petang) dan penyampaian saguhati kepada jawatankuasa kariah.
“Penyerahan saguhati ini melibatkan 240 buah kariah di seluruh Pulau Pinang.
“Secara keseluruhan, seramai 806 orang daripada setiap kariah akan menerima penghargaan ini.
“Jumlah keseluruhan saguhati bagi semua daerah adalah sebanyak RM504,200.00, semoga sumbangan ini menjadi suntikan semangat untuk Jawatankuasa Kariah terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan dedikasi,” katanya lagi.

Turut berlangsung, sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada asnaf melalui Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI