GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinan (MAINPP) bakal melaksanakan konsep tanah perkuburan berpusat di negeri ini bagi menambah tanah perkuburan Islam sedia ada dan pada masa hadapan.
Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat berkenaan memberitahu bahawa sehingga kini terdapat beberapa tanah perkuburan berpusat iaitu Lot 21238 Mukim 3 Daerah Seberang Perai Utara (Pinang Tunggal) berkeluasan 8.47 ekar; Lot 10076 Mukim 6 Daerah Seberang Perai Tengah (Bandar Perda, 4.52 ekar); Lot 504 & 458 Mukim 3 Daerah Barat Daya (Sungai Rusa, 10.5 ekar) dan Lot 3044, 1785, 3042 & sebahagian 2995 Mukim 10 Daerah Seberang Perai Utara (Sungai Dua) berkeluasan 20,236.2010 meter persegi atau 5,000 ekar.
Di samping itu, beliau yang juga Yang di-Pertua MAINPP memberitahu bahawa MAINPP juga sedang dalam tindakan membangunkan tanah perkuburan tersusun di Lot 20112 Mukim 13 Daerah Timur Laut berkeluasan 1.28 ekar dan Lot 10083 Seksyen 4 Jelutong (1.46 ekar).
“Konsep tanah perkuburan (tersusun) ini dirancang untuk digunakan secara pusingan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Mohamad memberi penjelasan tersebut dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 pada 21 Mei 2025, sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh ADUN Telok Ayer Tawar, Azmi Alang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS